top of page

Sabah Laksana Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

19 Mei 2025


RANAU: Satu sesi libat urus dan lawatan tapak bagi pelaksanaan Projek Pemasangan Peralatan Amaran Awal (Early Warning System - EWS) bagi aliran puing serta Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) telah diadakan pada 13 mei lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Refflesia, Taman-Taman Sabah, Kundasang.


Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik Pengurangan Risiko Bencana oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan sokongan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko bencana alam, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi akibat kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 2015.


Sebanyak lima buah kampung di daerah Kota Belud telah dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan projek, iaitu Kampung Lobong-Lobong, Kampung Kaung, Kampung Tambatuon, Kampung Bundu Paka, dan Kampung Lingkubang. Manakala di daerah Ranau, Kampung Masilau turut disenaraikan sebagai kawasan fokus dalam pelaksanaan sistem amaran awal tersebut.


Ketua Pengarah NADMA, Dato’ Khairul Sharil, menjelaskan bahawa tujuan pemasangan sistem EWS ini adalah untuk memberi amaran awal serta meningkatkan langkah pencegahan di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi ancaman geologi, termasuk pergerakan tanah dan aliran puing.


“Pemasangan sistem ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ketahanan komuniti terhadap bencana. Proses tender dan pelantikan kontraktor dijangka akan selesai menjelang akhir tahun ini, manakala kerja-kerja pemasangan akan dimulakan pada awal tahun 2026,” ujar beliau.


Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Cawangan Sabah, Dr. Fredrick Francis, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud dan Ranau, wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dari Kundasang dan Kadamaian, wakil Taman-Taman Sabah; serta para Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kampung yang terlibat.


Sesi libat urus ini menjadi platform penting untuk menyelaras pelaksanaan projek secara holistik serta melibatkan penyertaan aktif daripada pihak berkepentingan dan komuniti setempat. Pelaksanaan projek ini diharap mampu mempertingkat sistem pemantauan bencana di peringkat lokal, seterusnya mengurangkan impak risiko terhadap nyawa dan harta benda.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page