Pemuda tanpa pakaian ceroboh masuk rumah cium kanak-kanak sedang tidur
- nabalunews
- Nov 5, 2025
- 1 min read

5 November 2025
TAWAU: Seorang lelaki yang disyaki menceroboh sebuah rumah dalam keadaan tidak berpakaian sebelum melakukan amang seksual fizikal dengan mencium seorang kanak-kanak perempuan yang sedang tidur, berjaya diberkas polis semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, mangsa,11, dikatakan tidur di ruang tamu rumah mereka sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek tanpa berpakaian tersebut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisoner Jasmin Hussin berkata, suspek berada di sisi kanak-kanak tersebut dan bertindak mencium pipi serta dahi mangsa.
"Mangsa yang terkejut terus menjerit apabila menyedari kejadian tersebut sehingga mengejutkan ibunya yang segera bergegas keluar dari bilik untuk melihat kejadian.
"Bagaimanapun, suspek warga asing berusia 20an itu sempat melarikan diri,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau berjaya menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sekitar jam 10 pagi, semalam.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar meningkatkan kawalan keselamatan rumah serta memberi perhatian terhadap pergerakan anak-anak, terutama pada waktu malam dan kawasan penempatan terbuka.


















Comments