Pemuda UPKO Penampang mahu kadar bayaran tempat letak kereta disemak semula
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda UPKO Penampang mahu kadar bayaran tempat letak kereta disemak semula

12 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang Billy Joe Dominic menyarankan Majlis Daerah Penampang (MDPg) supaya menyemak semula kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan Penampang.


Beliau berkata, ini penting untuk mengurangkan bebanan para pengguna di kawasan tersebut.


“Ramai orang awam mengeluh tentang caj bayaran parking di Penampang dan saya percaya MDPg boleh menyemak semula kadar yang tersebut.


“Pada tahun lalu, saya turut hadir dalam taklimat caj parking di Penampang bersama YB Datuk Ewon, Ahli Parlimen Penampang yang diberikan oleh MDPg. Dalam taklimat tersebut, kami dimaklumkan keputusan dan perjanjian konsesi dengan syarikat telah diputuskan dan ditandatangani iaitu sebelum Ewon menjadi Ahli Parlimen di Penampang.


“Dalam taklimat itu juga, Datuk Ewon menyatakan yang beliau tidak bersetuju dengan kadar bayaran berkenaan dan meminta pihak Majlis Daerah supaya menyemak semula caj parking itu. Beliau juga tidak setuju syarikat konsensi itu mengaut untung banyak daripada yang dibayar kepada majlis daerah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas caj tempat letak kereta di Penampang yang dianggap agak mahal dan tidak munasabah yang menjadi topik utama perbualan di media-media sosial penduduk Penampang.


Dalam taklimat mengenai bayaran tempat letak kereta di Penampang, Ewon meminta Majlis Daerah merekodkan komen beliau kerana menjangkakan rakyat Penampang akan membantah kerana perjanjian yang disifatkan beliau tidak memihak kepada MDPg.


“Saya tidak ada bantahan perlaksanaan parking di penampang. Tetapi biarlah caj parking tersebut berpatutan dan mampu dibayar oleh semua warga Penampang.


“Memandangkan sistem pengangkutan awam di Penampang masih agak kurang dan keterbelakang, warga Penampang tidak mempunyai banyak alternatif selain memandu sendiri ke pekan, para peniaga kecil, tamu, penjaja sudah tentu terkesan dengan caj ini kerana mereka berniaga seharian,” katanya.


Billy berkata, selain peniaga, mereka yang tinggal diatas kedai Donggongon juga akan terbeban dengan caj parking ini.


Beliau juga meminta agar pihak majlis mempamerkan kepada awam kertas perjanjian antara Majlis Daerah Penampang dan syarikat yang dipertanggungjawabkan mengurus tempat letak kereta di kawasan Penampang.


“Atas dasar ketelusan dalam urusan pentadbiran di Penampang, saya berharap pihak majlis dapat mempamerkan kepada awam kertas perjanjian antara syarikat yang mengndalikan tempat letak kereta di Penampang,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page