Penahanan Presiden Venezuela pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa – PM
- nabalunews
- Jan 4
- 2 min read

4 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Penahanan Presiden Venezuela Nicolas Maduro bersama isterinya dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Caracas adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan AS itu merupakan penggunaan kekerasan secara tidak sah ke atas sebuah negara berdaulat, selain menyifatkannya sebagai sesuatu yang luar biasa dari segi skop dan sifat.
Menurutnya, Maduro dan isteringa Cilia Flores perlu dibebaskan segera, sambil memberi amaran menyingkirkan seorang ketua kerajaan melalui campur tangan luar adalah satu tindakan tidak wajar.
“Walau apa pun alasannya, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang berkhidmat melalui tindakan luar menetapkan satu duluan berbahaya.
“Ia menghakis kekangan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook susulan perkembangan semasa di Venezuela.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan rakyat Venezuela berhak untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri tanpa campur tangan kuasa luar.
Berdasarkan sejarah, katanya, perubahan kepemimpinan secara mendadak yang dicetuskan melalui kekerasan luar akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, terutama di sebuah negara yang bergelut dengan kesukaran ekonomi berpanjangan dan tekanan sosial yang mendalam.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang menjunjung tinggi penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sebagai asas kepada hubungan aman antara negara.
"Pembabitan secara konstruktif, dialog dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai jalan paling berwibawa ke arah penyelesaian yang melindungi orang awam dan membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa menanggung kemudaratan yang berlanjutan," katanya.
Semalam, AS melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menangkap Maduro serta isterinya, Cilia Flores, sebelum dibawa keluar dari negara itu.
Media antarabangsa hari ini melaporkan Maduro dan isterinya sudah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk narkotik dan keganasan membabitkan perdagangan dadah haram.
Maduro memegang jawatan Presiden sejak 2013, menggantikan bekas pemimpin kontroversi negara itu, mendiang Hugo Chavez.


















Comments