Penanaman lada hitam di Sabah perlu dipertingkatkan: Dennison
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penanaman lada hitam di Sabah perlu dipertingkatkan: Dennison

16 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU:  Para pengusaha lada hitam di negeri ini digesa supaya mempertingkatkan lagi penanaman lada hitam agar setaraf dengan negeri jiran, Sarawak, dalam arus pembangunan komoditi itu.


Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS) Dennison R Indang berkata,  Sarawak sudah lama memberi fokus kepada pembangunan industri lada hitam dan kini mempunyai hilir (downstream) kukuh yang mampu memenuhi permintaan pasaran tanpa bergantung kepada mana-mana pengeluar selain beroperasi di negeri itu sendiri.


"Usaha membangunkan lada hitam telah lama dimulakan di Sarawak. Kini industri komoditi itu (di sana) mempunyai asas yang kukuh dan mampu memberi pengusaha-pengusaha kecil keterjaminan pasaran tanpa merisaukan penjualan hasil tani mereka.


"Usaha yang sama harus dilakukan bagi memberi manfaat yang setaraf kepada pengusaha-pengusaha kita sekaligus merancakkan lagi industri komoditi ini di negeri Sabah," kata Dennison.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin di Pejabat Parlimen P.172 Kota Kinabalu, hari ini.


Dennison yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia berharap Kementerian Pembangunan Perladangan dan Komoditi dapat membantu dalam usaha membangunkan industri ini di Sabah bagi mengatasi masalah yang dihadapi pengusaha dan penanam lada hitam di Sabah.


"PLAS di Sabah telah memfokuskan usaha membantu melahirkan usahawan-usahawan hiliran sejak 2018 memainkan peranan sebagai pembeli bagi membantu penanam-penanam lada menggerakkan hasil penuaian mereka dalam melengkapkan rantaian bekalan di sini,” katanya.


Beliau yang juga Bendahari-Agung UPKO yaki tumpuan pembangunan lada hitam di Sabah akan membawa impak positif bukan sahaja kepada pengusaha-pengusaha kecil tetapi juga kepada industri itu di seluruh negara.


"Selain permintaan dalam negeri, kami juga menerima pesanan dari seluruh negara kerana kualiti hasil yang lebih tinggi berbanding dengan pengeluar lain.


“Ini membuktikan produk lada hitam berkualiti tinggi mempunyai permintaan di pasaran negara dan mungkin jika dapat dimajukan lagi dapat menembusi pasaran antarabangsa," katanya.


Dalam pada itu, Chan berkata beliau akan cuba memberi fokus pembangunan lada hitam di negeri ini disamping usaha memperkasakan lagi tiga komoditi utama iaitu getah, sawit dan kayu kayan, selaras dengan aspirasi kementerian.


"Kita akan bawa cadangan ini dalam mesyuarat kementerian yang akan datang untuk diberi pertimbangan.


"Selaku timbalan menteri dan Ahli Parlimen dari Sabah, semestinya saya berhasrat untuk memberi lebih perhatian kepada Sabah kerana negeri ini juga mempunyai potensi besar dalam pembangunan perladangan (dan komoditi),” katanya.


Hadir sama, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri, Kaven Lee.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page