top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Pendapatan pengusaha sayur tanah tinggi terjejas akibat kenaikan harga baja, racun


Sayur-sayuran yang diusahakan oleh Frazad di Kg.Cinta Mata, Kundasang.

3 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


KUNDASANG: Pengusaha sayur-sayuran tanah tinggi di sini meminta pihak kerajaan memberikan subsidi pembelian baja dan racun atau menyeragamkan harga keperluan pertanian itu untuk mengurangkan bebanan golongan petani dan pengusaha sayur-sayuran.


Ini kerana kenaikan harga baja dan racun secara mendadak bukan sahaja membebankan tetapi memberi tekanan hidup dan menjejaskan pendapatan mereka.


Pengusaha sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang Frazad Ibrahim, 29, berkata, kenaikan harga baja dan racun amat membebankan.


Frazad Ibrahim

“Sebelum ini bajet pembelian baja untuk satu jenis sayur lebih kurang RM1,000 tetapi dengan kenaikan hampir dua kali ganda harga baja dan racun pada tahun ini, ia amat membebankan.


“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu para pengusaha sayur-sayuran dan semua yang terlibat dalam bidang pertanian,” katanya kepada Nabalu News, kelmarin.


Usahawan muda itu berkata, peningkatan kos operasi dari ladang antara sebab harga borong sayur-sayuran tanah tinggi meningkat.


“Contohnya tomato, harga borong biasanya antara RM1 dan RM2 sekilogram tetapi sekarang RM4, sayur sawi RM1.50 sekilogram naik kepada RM3, begitu juga dengan sayur lain termasuk kobis,” katanya yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran sejak tahun 2014.


Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mengawal atau memantau penjualan baja dan racun supaya ia tidak membebankan para petani dan pengusaha sayur-sayuran.



“Selain kenaikan harga baja dan racun, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan harga sayur-sayuran tanah tinggi ialah keadaan cuaca,” katanya.


Frazad berharap kerajaan dapat membantu usahawan muda dan semua yang terlibat dalam bidang pertanian agar terus maju walaupun berhadapan dengan cabaran termasuk peningkatan kos operasi ladang.


“Semasa pandemik Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami dermakan sayur-sayuran kepada rumah-rumah kebajikan dan orang ramai yang memerlukan sayur kerana masa itu tidak dapat keluar berjualan dan pemborong juga tidak dapat mengambil sayur kami.


“Banyak juga sayur yang terpaksa kami buang begitu sahaja,” katanya.


Sementara itu Mohd Hafiz Hazani,29, berharap kerajaan dapat mengambil langkah drastik untuk mengawal harga racun dan baja.


Mohd Hafiz Hazani

“Jika harganya tidak dapat dikawal, kerajaan perlu melakukan sesuatu termasuk memberikan subsidi baja dan racun kepada semua pengusaha sayur-sayuran dan petani bagi mengurangkan bebanan kami,” katanya.


Beliau berkata, apabila kos operasi ladang meningkat harga sayuran juga akan meningkat dan harga jualan di pasar atau pasaraya juga akan meningkat.


Mengenai gerai pengusaha sayur-sayuran tanah tinggi di kawasan itu, Mohd Hafiz berharap kerajaan dapat menaiktaraf gerai, jalan dan menyediakan lampu di setiap gerai berkenaan bagi memudahkan para pemborong mengangkut sayur-sayuran di situ.


Para pengusaha sayur-sayuran meminta kerajaan menaiktaraf jalan kawasan itu.

“Kalau hujan, jalan licin … menyukarkan penghantaran sayur-sayuran,” katanya dan menambah gerai di kawasan itu dibina sendiri oleh pengusaha sayur-sayuran.

Bagi Izham Waidi pula, kenaikan harga baja dan racun menyebabkan penyewa kebun sayurnya tidak dapat membayar sewa dalam tempoh yang ditetapkan.


“Sebelum ini mereka mampu membayar dengan bayaran penuh tetapi sekarang pendapatan mereka terjejas kerana pandemik ditambah pula kenaikan kos operasi (pembelian baja dan racun) yang meningkat menyebabkan mereka hanya membayar sekadar yang mampu secara ansuran.


Antara jenis tanaman sayur tanah tinggi di Kundasang.

“Penyewa bayar yang mampu saja sebab pendapatan mereka terjejas,” katanya.


Pengusaha sayur-sayuran di Kg.Kinasaraban Bundu Tuhan, Henry Ladzim mengakui pendapatan agak terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun.


“Ini kerana harga sayur-sayuran masih sama tetapi kos mengusahakan sayur-sayuran meningkat.


“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat membantu mengurangkan beban para petani atau pengusaha pertanian dengan memantau kenaikan harga keperluan pertanian,” katanya.


Henry berkata, dia kecewa dengan kerajaan sekarang kerana gagal mengawal harga barangan.


“Setakat ini saya tidak nampak apa-apa usaha kerajaan membantu kami (para petani dan pengusaha sayur-sayuran),” katanya.



Dalam laporan media kelmarin (2 Disember) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, lebih 632,000 petani dan pesawah terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran sekali gus mengurangkan pendapatan petani.


Beliau dipetik sebagai berkata, semenjak pandemik melanda negara, harga baja didapati meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun pula meningkat hampir 100 peratus.



Comments


bottom of page