Pendidikan adalah kunci utama bina masa depan cemerlang
- nabalunews
- Dec 12, 2024
- 2 min read

12 Disember 2024
KENINGAU: Pendidikan adalah kunci utama untuk membina masa depan yang cemerlang, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk masyarakat dan negara.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, melalui pendidikan, seseorang itu dapat memperkasakan diri, memperluaskan pemikiran, dan seterusnya mampu menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.
"Sehubungan itu, kami di barisan kepimpinan Sabah juga akan sedaya upaya untuk membantu
perjalanan anak-anak guru-guru ibubapa dan sekolah melalui program yang akan diteruskan untuk semua sepertimana yang telah diumumkan oleh kerajaan Sabah" katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Aspirasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor 2024 pada Rabu.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, kerajaan telah menyediakan bantuan seperti Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) untuk semua anak Sabah.
Pada masa sama Robert menekankan bahawa masa depan yang gemilang tidak bergantung semata-mata kepada keputusan peperiksaan, tetapi juga pada disiplin, usaha gigih, dan integriti yang ditunjukkan oleh pelajar dalam setiap aspek kehidupan.
Oleh itu katanya, para pelajar perlu untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.
"Perjalanan anda baru bermula, dan banyak lagi kejayaan yang menanti di hadapan" katanya memberi suntikan semangat.
"Saya percaya bahawa dengan tekad dan usaha yang berterusan, tiada apa
yang mustahil untuk dicapai" tambahnya.
Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Keningau Francisca John, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor Puan Dorothea Caherina Onong dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred.
Comments