top of page

Pendidikan Tinggi Masih Pelaburan Terbaik Dalam Dunia Yang Tidak Menentu

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah
Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah

Oleh

Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah


Laporan media mengenai peningkatan kadar pengangguran negara yang mencecah lebih setengah juta individu sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar yang sedang membuat keputusan mengenai masa depan pendidikan mereka.


Persoalan yang sering timbul ialah: “Jika peluang pekerjaan semakin mencabar, adakah pendidikan universiti masih relevan?” Jawapan saya adalah ya, malah lebih penting daripada sebelumnya.


Kita perlu memahami bahawa kadar pengangguran nasional tidak boleh dilihat secara terasing daripada perubahan besar yang sedang berlaku dalam ekonomi global. Ketegangan geopolitik di beberapa rantau dunia, gangguan rantaian bekalan antarabangsa, ketidaktentuan perdagangan global, revolusi kecerdasan buatan (AI), automasi dan transformasi digital sedang mengubah corak pekerjaan secara mendadak.


Dalam keadaan seperti ini, cabaran sebenar bukanlah semata-mata mendapatkan pekerjaan, tetapi memastikan seseorang memiliki pengetahuan, kemahiran dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku sepanjang hayat kerjayanya.

Atas sebab itulah pendidikan tinggi kekal relevan.


Malah, pencapaian terkini Universiti Malaysia Sabah membuktikan bahawa pelaburan dalam pendidikan tinggi terus memberikan pulangan yang signifikan kepada graduan. Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tahun 2025, UMS merekodkan kadar bekerja graduan (Graduate Employment) sebanyak 91.5 peratus, manakala kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Marketability) mencapai 91.1 peratus.


ini melepasi sasaran nasional yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu 86.4 peratus.

Statistik ini menunjukkan bahawa majoriti graduan UMS berjaya memperoleh pekerjaan, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran profesional atau terlibat dalam aktiviti ekonomi yang produktif dalam tempoh yang singkat selepas tamat pengajian.


Namun, saya percaya ukuran kejayaan universiti pada hari ini tidak lagi terhad kepada berapa ramai graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Ukuran yang lebih penting ialah sejauh mana graduan mampu bertahan, berkembang dan mencipta peluang dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.


Atas dasar itu, UMS terus memperkukuhkan kerjasama dengan industri, memperluaskan program Work-Based Learning, meningkatkan pendedahan kepada teknologi digital dan kecerdasan buatan serta memperkasakan pendidikan keusahawanan bagi memastikan graduan bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan tetapi juga pencipta pekerjaan.


Bagi ibu bapa yang sedang mempertimbangkan laluan pendidikan anak-anak mereka, saya ingin menegaskan bahawa keputusan untuk melanjutkan pengajian ke universiti bukanlah keputusan untuk empat tahun akan datang sahaja. Ia adalah pelaburan untuk 40 tahun akan datang.


Ekonomi akan melalui fasa turun naik. Industri akan berubah. Teknologi akan berkembang. Namun individu yang mempunyai pendidikan tinggi, kemahiran yang relevan dan keupayaan untuk terus belajar akan sentiasa mempunyai kelebihan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.


Justeru, peningkatan kadar pengangguran yang dilaporkan perlu dilihat secara seimbang dan dalam konteks yang lebih luas. Ia tidak seharusnya menimbulkan persepsi bahawa pendidikan tinggi kehilangan nilainya. Sebaliknya, dalam dunia yang semakin tidak menentu, pendidikan tinggi merupakan antara mekanisme terbaik untuk membina daya tahan, mobiliti sosial dan masa depan yang lebih terjamin.


Sebagai universiti awam yang menjadi kebanggaan Sabah dan Malaysia, UMS akan terus komited melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, beretika dan bersedia memimpin masyarakat dalam era perubahan yang pantas.


Kerana pada akhirnya, cabaran masa depan tidak dapat dielakkan. Tetapi melalui pendidikan, kita dapat mempersiapkan generasi muda untuk menghadapinya dengan lebih yakin


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page