Pendirian GRS mengenai isu Kad Warga Asing di Sabah, tidak konsisten, kelirukan rakyat
top of page
  • nabalunews

Pendirian GRS mengenai isu Kad Warga Asing di Sabah, tidak konsisten, kelirukan rakyat


26 April 2022


1. Respon negatif daripada parti-parti komponen GRS berkenaan cadangan Kad Warga Asing Sabah telah menimbulkan tanda tanya tentang ketelusan mereka dalam menyelesaikan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.


2. Cadangan pemberian Kad ini yang dibantah oleh Presiden STAR, DSP Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai, telah memberi gambaran bahawa mereka seakan tidak mengetahui isu ini dari awal.


3. Cuma, mana mungkin, satu perkara penting seperti ini yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JPKWAS - INDUK) bersama Ketua Menteri, DSP Hajiji Noor, pada Khamis lepas, tidak diketahui oleh parti komponen GRS terlebih dahulu?


4. Namun ada kemungkinan juga Hajiji membelakangkan parti komponen GRS yang lain berikutan masalah dalaman tentang perebutan kuasa dalam kerajaan negeri Sabah yang bagaikan retak menanti belah.


5. Agak mengejutkan apabila Hajiji membuat kenyataan media bahawa cadangan Kad Warga Asing ini sebenarnya belum diputuskan oleh kerajaan negeri Sabah sedangkan Hamzah, semasa sidang media selepas mesyuarat pada Khamis lepas mengatakan Kad ini adalah cadangan daripada kerajaan negeri Sabah.


6. Adakah kenyataan Hajiji ini merupakan satu tindakan Damage Control selepas isu kad ini menjadi kontroversi dengan mendapat bantahan besar-besaran daripada parti-parti pembangkang, majoriti rakyat Sabah selain parti komponen GRS sendiri?


7. Apa rasionalnya Hajiji mencadang perkara sensitif sebegini tanpa mendapat persetujuan secara konsensus daripada semua stakeholders terutama sekali menteri kabinet kerajaan negeri dan parti-parti komponen dalam GRS sendiri?


8. Konsep dan fungsi Kad Warga Asing ini sama seperti Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh Presiden PPBM merangkap Pengerusi Perikatan Nasional, TS Muhyiddin Yassin ketika mengalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 2019.


9. Muhyiddin, seperti yang disiarkan oleh Sinar Harian pada 11 Januari 2020 telah menegaskan bahawa pemegang PSS tidak layak memohon warganegara Malaysia.


10. Walau bagaimanapun, dalam menyatakan bantahan beliau, Jeffrey turut selitkan bahawa PSS boleh digunakan untuk PATI menjadi warganegara berbanding dengan Kad Warga Asing ini.


12. Ini adalah satu pembohongan besar Jeffrey kepada rakyat Sabah terutama golongan Orang Asal Sabah (OAS) yang merupakan nadi kepada kekuatan Parti STAR kerana jika benar seperti didakwa, kenapa Jeffrey, sebagai salah seorang Timbalan Pengerusi PN dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, tidak pernah membidas kenyataan mantan Perdana Menteri itu secara terbuka?


13. Jika Jeffrey jujur dalam mempertahankan hak orang Sabah dan mempunyai bukti bahawa PSS boleh digunakan untuk memohon warganegara, kami cabar Jeffrey untuk mengatakan secara terbuka bahawa Muhyiddin sebenarnya berbohong kepada rakyat Malaysia kerana PSS layak digunakan sebagai dokumen untuk PATI memohon menjadi warganegara.


14. Kami juga turut mencabar Jeffrey untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin bagi membuktikan dakwaan ADUN Tambunan itu adalah benar.


15. Selain itu, kami tidak dinafikan bahawa PBS konsisten dalam menyatakan pendirian mereka terhadap isu PATI walaupun ada pihak bertanya kenapa PBS masih belum mengotakan janji PRN mereka untuk menghantar PATI pulang ke negara asal mereka.


16. Tidak logik juga kalau kita andaikan bahawa PBS mengunci mulut mereka apabila kerajaan Persekutuan dan GRS hanya mampu mengusir PATI dari Sabah dengan jumlah sekitar 2 ribu orang setakat ini banding dengan kerajaan Warisan Plus lebih 20 ribu sepanjang 26 bulan menjadi kerajaan Sabah.


17. Mana mungkin PBS hanya pandai bercakap kosong di media sahaja kerana presiden mereka DSP Dr Maximus Ongkili adalah Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di mana penyelesaian isu PATI adalah janji beliau kepada rakyat Sabah?


18. Tapi kenapa PBS termasuk STAR tidak dibawa berbincang berkenaan cadangan Kad Warga Asing ini terlebih dahulu sebelum ianya dibentangkan oleh Hajiji dalam mesyuarat JPKWAS-INDUK?


19. Apa yang jelas ini semua adalah sandiwara PBS dan STAR selepas mereka dipersoalkan oleh penyokong mereka sendiri tentang isu ini.


20. Kami berpendapat, akan tiba masanya, GRS pasti akan tunduk dengan kemahuan Hamzah untuk menerima Kad Warga Asing ini.


21. Masa itu, Jeffrey dan Joniston akan memainkan naratif, akibat bantahan mereka inilah, KDN telah memberi jaminan bahawa PATI tidak boleh gunakan kad ini untuk memohon kewarganeraaan, tidak seperti PSS.


22. Mereka juga akan mengatakan bahawa kad ini adalah tindakan terbaik oleh GRS dan kerajaan Persekutuan untuk selesaikan isu PATI secara komprehensif dan kolektif sekaligus membuktikan bahawa mereka telah mengotakan janji PRN mereka.


23. STAR dan PBS pasti tidak akan mengatakan bahawa Kerajaan lepas juga telah berusaha keras selesaikan masalah PATI ini melalui kaedah PSS.


24. Mereka pasti akan menafikan bahawa Kad Warga Asing adalah penjenamaan semula PSS walaupun penerangan tentang kad ini oleh Hamzah jelas menunjukkan konsep dan fungsi yang serupa.


25. Rakyat Sabah harus membuka mata sebesar mungkin untuk melihat retorik politik mainan GRS selama ini merupakan satu bentuk penipuan secara halus agar mereka boleh menewaskan Warisan Plus semasa PRN yang lalu.


26. Kalau pengundi GRS menolak PSS apa rasionalnya mereka perlu bersetuju dengan Kad Warga Asing sedangkan kedua-dua dokumen ini mempunyai fungsi yang sama?


YB Hj Ahmad Hassan Ahli Parlimen P175 Papar merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan


YB Ben Chong, ADUN N04 Tanjung Kapor merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan


Mathew Yong, aktivis Pergerakan Masih Warisan (MaWar).

bottom of page