Penduduk Kg. Sayap lega sistem paip graviti ditambahbaik atasi masalah airPenduduk Kg. Sayap lega sistem paip graviti ditambahbaik atasi masalah air
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Penduduk Kg. Sayap lega sistem paip graviti ditambahbaik atasi masalah air


Dr.Rizoh (tengah, depan) bersama Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian Shainim Epin (kanan) meninjau projek sistem air paip graviti..

25 November 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA BELUD: Lebih 1,500 penduduk Kampung Sayap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini menarik nafas lega apabila projek penambahbaikan sistem air paip graviti di kampung itu siap sepenuhnya.


Projek pembangunan komuniti di bawah Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) itu dikendalikan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kadamaian dan Kelab Belia Kampung Sayap.


Pengurus Projek APPGM-SDG Parlimen Kota Belud Dr. Rizoh Bosorong berkata, projek komuniti itu dilaksanakan secara bergotong-royong melibatkan komuniti setempat.



Beliau berkata, penduduk kampung itu yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air paip graviti sering menghadapi gangguan kemudahan itu terutamanya musim kemarau.


“Tujuan projek ini adalah untuk menambah baik sistem tadahan air dan meningkatkan kualiti sumber air paip graviti bagi kegunaan penduduk dan pelancong, sekaligus meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan penduduk melalui sumber air graviti yang lebih bersih,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Dr. Rizoh berkata, antara fokus utama projek ini adalah membina sistem penapisan fizikal air dan mewujudkan jawatankuasa pengurusan air komuniti agar sumber bekalan air sentiasa terurus dan berterusan.



“Dengan siapnya projek ini diharap dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk, memupuk kerjasama dan kesatuan dalam pengurusan sumber air serta menambahkan kualiti perkhidmatan pengusaha-pengusah eko pelancongan komuniti,” katanya.


Beliau juga berterima kasih kepada APPGM-SDG kerana memilih Kampung Sayap sebagai satu daripada 20 kawasan Parlimen untuk melaksanakan program mereka.


“Penambahbaikan sistem air paip graviti ini juga akan memastikan semua penduduk kampung menikmati sumber bekalan air paip graviti yang bersih menjelang tahun 2025,” katanya.



Katanya lagi, penduduk kampung telah merekabentuk sistem penapisan fizikal air yang sesuai dengan sistem paip graviti sedia ada supaya dapat diaplikasi di kampung itu.


“Melalui rekabentuk itu, kami memastikan agihan bekalan air dari sistem paip graviti komuniti adalah bersih, mencukupi dan bererusan,” katanya.


Dr. Rizoh berkata, mereka akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pengurusan Paip Komuniti Kampung untuk memantau, mengurus dan menyelenggara sistem penapisan paip graviti tersebut.


Kampung Sayap mempunyai seramai 1,627 penduduk dengan 206 buah rumah. Selain inap desa, penduduk kampung turut mengusahakan gerai, kedai makan dan keusahwanan desa.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page