Wartawan Nabalu News
Penduduk lapan buah kampung kawasan Ulu Papar rayu kerajaan naiktaraf jalan
15 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Lebih 2,000 penduduk di lapan buah kampung kawasan Ulu Papar merayu kepada kerajaan negeri supaya mempercepatkan penaiktarafan jalan Timpango – Terian sepanjang tujuh kilometer.
Wakil penduduk kampung Nousi Giun berkata, jalan raya berkenaan adalah jalan perhubungan utama penduduk Kampung Longkogungan, Kg.Kalanggaan, Kg.Pongobonon, Kg.Buayan, Kg.Terian, Kg.Tiku, Kg.Timpayasa dan Kg. Babagon Laut.
Beliau berkata, jalan itu dibina pada tahun 2008 dan sehingga kini tidak pernah diselenggarakan.
“Kami telah lama memohon supaya jalan raya itu dinaiktaraf tetapi malangnya sehingga kini tiada khabar gembira. Setiap kali kami memohon, jawapan yang diberikan ialah sudah ada peruntukan…tetapi tiada tindakan,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.
Nousi memuat naik video keadaan jalan raya kampung itu yang rosak teruk dan amat susah dilalui terutamanya pada musim hujan.
Video berdurasi 2 minit 40 saat yang dimuatnaik di Facebooknya baru-baru ini mendapat perhatian para netizen.
Nousi berkata, penduduk kampung termasuk guru-guru yang mengajar di kawasan itu terpaksa ‘rukut-rukut’ (mengeluarkan wang sendiri) untuk membaiki kerosakan jalan berkenaan.
Sebanyak tiga sekolah kawasan berkenaan iaitu SK Longkogungan, SK Buayan dan SK Terian serta sebuah klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Kg.Terian.
“Keadaan jalan jalan raya yang teruk bukan sahaja menyukarkan penduduk kampung memasarkan hasil pertanian mereka tetapi juga menyukarkan guru-guru dan kakitangan klinik kesihatan yang bertugas di sini.
“Kadang-kadang jalan itu tidak dapat dilalui kenderaan sebab licin terutamanya pada musim hujan, jadi penduduk kampung atau guru-guru terpaksa meninggalkan kereta atau motor di tengah jalan dan berjalan kaki,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini sudah ramai pemimpin melawat kampung-kampung kawasan Ulu Papar dan telah melalui serta merasai sendiri kesengsaraan melalui jalan berkenaan tapi masalah jalan raya tidak pernah selesai.
“Sudah berpuluh kali pemimpin kerajaan melalui jalan ini dan tahu keadaan sebenar. Setiap kali ada pemimpin masuk kampung sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, mereka sering berucap ‘jalan raya akan dibaiki’ tetapi janji tinggal janji, tiada tindakan sehingga sekarang,” katanya.
Sehubungan itu beliau amat berharap agar kerajaan dapat menaiktaraf jalan raya itu untuk keselesaan dan keselamatan penduduk kampung.
Nousi berkata, masalah jalan raya itu adalah antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi gugu-guru yang mengajar di kawasan Ulu Papar.
“Kita sudah mengajukan permohonan untuk tabur batu supaya perjalanan pengguna jalan ke Ulu Papar lebih selamat, tetapi tiada jawapan pihak berkenaan.
“Selain itu saya juga berusaha berkempen dengan penduduk kampung membuat penanaman halia tetapi jika jalan begini...tiada guna juga,” katanya dan menambah jarak jarak kampung itu ke Kota Kinabalu lebih kurang 28 kilometer.
Comments