Sumbangan Prihatin Di Ranau: Inisiatif Bakul Makanan Ringankan Beban Warga Emas
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

6 Mei 2025
RANAU: Persatuan Masyarakat Prihatin Ranau dengan kerjasama Tekun Nasional telah menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada 10 warga emas dalam satu program ziarah kasih yang berlangsung di Kampung Gaur, kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nampasan Ranau, pada 1 Mei lalu.
Program ini diketuai oleh Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ranau, Gerogina George yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Masyarakat Prihatin Ranau.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak persatuan dalam membantu golongan memerlukan, terutamanya warga emas yang sering kali terlepas pandang dalam arus pembangunan semasa.
Menurut Gerogina, sumbangan ini merupakan fasa pertama bantuan bakul makanan yang dirancang pihaknya dan berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan secara berkala.
“Kami ingin pastikan tiada warga emas yang terpinggir atau terabai. Bantuan seperti ini mungkin kecil nilainya, namun besar maknanya buat mereka,” ujar beliau ketika ditemui selepas penyerahan bantuan tersebut.
Bakul makanan yang diagihkan merangkumi barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung serta makanan dalam tin, yang diyakini mampu meringankan beban hidup penerima khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Kerjasama antara Persatuan Masyarakat Prihatin Ranau dan Tekun Nasional juga dilihat sebagai langkah bijak dalam menyemarakkan lagi semangat kesukarelawanan serta memastikan bantuan disalurkan secara tersusun dan efektif.
Gerogina turut mengajak lebih ramai pihak termasuk sektor swasta dan individu berkemampuan untuk turut sama menyumbang atau bekerjasama dalam menjayakan program akan datang.
“Ini bukan hanya soal bantuan, tapi soal kemanusiaan dan kasih sayang terhadap komuniti kita,” tambahnya.
Dengan pelaksanaan fasa pertama ini, dijangka lebih ramai penerima akan disantuni dalam fasa-fasa akan datang yang kini dalam perancangan rapi pihak persatuan.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan hidup golongan sasar, malah memperkukuh semangat kekitaan dalam masyarakat Ranau yang terkenal dengan budaya saling membantu dan hormat-menghormati.
Comments