PENDUDUK MUKIM LUBA PELUMPUNG RAYU KKMM BINA MENARA TELEKOMUNIKASI
- Wartawan Nabalu News
- Nov 6, 2020
- 3 min read

6 NOV2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA MARUDU: Penduduk Mukim Luba Pelumpung Kota Marudu merayu kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) supaya memberikan kelulusan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan itu.
Ini kerana masalah capaian internet yang lemah di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk kawasan itu menyukarkan para pelajar dan guru-guru melaksanakan tugasan mereka terutamanya dalam pembelajaran secara online semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Rayuan demi rayuan telah dikemukakan sebelum ini tetapi tidak membuahkan hasil.
Sehubungan itu penduduk empat kampung iaitu Kampung Luba Pelumpung, Kg.Rugading, Kg.Rugading Baru dan Kg. Lampada dalam Mukim Luba Pelumpung merayu agar kerajaan dapat mempercepatkan pembinaan sebuah menara telekomunikasi di mukim itu.
Wakil penduduk kampung, Tahar Untalis berkata, ketiadaan telekomunikasi mengakibatkan penduduk sering ketinggalan daripada menerima berita-berita terkini.
Beliau berkata, walaupun hampir kesemua penduduk kampung itu memiliki telefon pintar dan telefon mudah alih yang lain, namun disebabkan akses yang kurang memuaskan, hanya kadangkala sahaja dapat digunakan.
Masalah internet di kampung itu semakin dirasai apabila para pelajar sekolah mulai belajar secara online sejak PKP.
“Lebih parah lagi apabila para pelajar belajar secara dalam talian kerana liputan Internet hanya terdapat di kawasan-kawasan tertentu sahaja.
“Pelajar terpaksa mencari kedudukan di merata tempat sehingga jarak 1 kilometer dari rumah semata-mata untuk mendapatkan isyarat telefon dimana keadaan itu memberi masalah kepada mereka,” kata Tahar.
Katanya lagi, situasi sama turut dihadapi penduduk kampung untuk berhubung dengan ahli keluarga mereka yang berada di luar daerah terutamanya dalam hal-hal kecemasan.
“Oleh itu kami merayu agar pemimpin dan kerajaan dapat mempercepatkan pembinaan menara telekomunikasi di kampung kami bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Selain Mukim Luba Pelumpung Kota Marudu, masalah yang sama turut dirasai penduduk di daerah-dearah lain di Sabah termasuk Kg.Kolosunan Inanam.

Atas inisiatif penduduk kampung, mereka meletakkan papan tanda ‘Bukit Online’ di mana hanya kawasan itu sahaja yang mempunyai ‘line’ telefon.
Penduduk kampung terpaksa menaiki bukit itu apabila ingin membuat panggilan telefon atau melayari internet.
Sehubungan itu, rakyat Sabah berharap pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela) di negeri ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang agar liputan komunikasi digital dapat dipertingkat dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi memenuhi kehendak pengguna yang semakin meningkat kebelakangan ini, lebih-lebih lagi ketika pandemic Covid-19 melanda negara.
Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, setakat ini status kesalinghubungan kadar penembusan jalur lebar bagi 100 penduduk di Sabah adalah 83.3 peratus, iaitu 3.1 peratus bagi jalur lebar talian tetap dan 80.7 peratus bagi jalur lebar mudah alih.
Katanya, bagi liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk, sehingga suku pertama tahun ini, terbahagi kepada jaringan 2G sebanyak 88.3 peratus, 3G (84.1 peratus) dan 4G (71.7 peratus).
“Oleh itu kita berharap masalah liputan komunikasi di negeri ini dapat dipertingkatkan mengikut rancangan yang dijadualkan bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Melalui Jendela, 382 menara komunikasi baharu sedang dirancang untuk dibina manakala 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia juga akan dinaik taraf di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
“Selain itu, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada juga akan dinaik taraf secara komersial oleh pemberi perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G dan 251,166 premis juga akan disediakan dengan capaian kepada gentian optik,” katanya.
Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lalu adalah satu inisiatif kerajaan dan pemain industri bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.
JENDELA merupakan perancangan semula pelan terdahulu iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), yang dirangka sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Perubahan norma baharu pasca Covid-19 menyaksikan perubahan ketara corak penggunaan Internet dan perkembangan ini menambah kebergantungan terhadap aspek digital untuk pembangunan semula masyarakat dan ekonomi.


















Comments