top of page

Penduduk rayu kerajaan segera baiki kerosakan Klinik Kesihatan Kg.Malalin

Wartawan Nabalu News

PERLU DIBAKI ... Bahagian luar dan dalam bangunan Klinik Kesihatan Kg.Malalin yang mengalami kerosakan.

16 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PAITAN: Pemimpin masyarakat Kampung Malalin di sini merayu agar kerajaan segera memperbaiki kerosakan bangunan Klinik Kesihatan kampung tersebut.


Ketua Kampung Kg. Malalin, Jaling Kuak berkata, klinik kesihatan itu kini tidak beroperasi disebabkan kerosakan beberapa struktur bangunan termasuk rumah penginapan kakitangan.



Beliau berkata, penutupan operasi klinik tersebut juga menyukarkan penduduk kampung mendapatkan rawatan kesihatan terutamanya mereka yang menghidap penyakit kronik.


“Oleh itu saya merayu agar kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera memperbaiki kerosakan bangunan klinik tersebut dan operasinya dibuka semula,” katanya dalam laporan Borneo Daily Buletin.


KK Jaling

Kampung Malalin mempunyai kira-kira 600 orang penduduk kebanyakannya berkerja di estet kelapa sawit berdekatan dan nelayan.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg.Malalin, Aziz Rajes juga berharap agar operasi klinik itu dibuka segera bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan rawatan kesihatan.


“Ketika ini penduduk kampung terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Pulau Jambongan yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari Kampung Malalin menaiki bot untuk sampai ke lokasi berkenaan.


“Agak sukar dan berisiko terutama wanita mengandung atau mereka yang mengalami penyakit kronik. Tambah rumit apabila berlaku kes kecemasan membabitkan kesihatan dan kemalangan pada waktu malam,” katanya.


Aziz Rajes

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin masyarakat itu mengadakan pertemuan dengan Adun Sugut, Datuk James Ratib untuk mengemukakan permasalahan tersebut.


Selain masalah kerosakan struktur bangunan klinik, mereka turut menjelaskan kedudukan klinik tersebut yang didirikan dalam kawasan Tanah Hutan Simpan.


Dalam pertemuan itu, Ketua Kampung Kg. Malalin mengemukakan cadangan tapak tanah yang sesuai didirikan bangunan Klinik Kesihatan baharu bagi kampung mereka yang tidak termasuk dalam kawasan hutan simpan.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page