- Wartawan Nabalu News
Penduduk rayu kerajaan selenggara Jalan Melangkap Tomis – Kebayau
16 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Penduduk Kampung Melangkap Tomis di sini, merayu kepada kerajaan agar mengambil tindakan segera menyelenggara jalan Melangkap Tomis-Kebayau sejauh tiga kilometer yang tidak diselenggara sejak lebih 20 tahun lalu.
Mantan Pengerusi MPKK kampung itu Wictor Langkin berkata, jalan raya tersebut tidak pernah diselenggara sejak tahun 1995.
"Jalan ini merupakan jalan pintas ke jalan perhubungan utama antara Kg Melangkap Tomis dan Kg Kebayau. Ia juga merupakan jalan alternatif ke pekan sekiranya ada tanah runtuh dan banjir berlaku di jalan utama (Jalan Melangkap Piasau).
"Sejak jalan (Melangkap Tomis-Kebayau) itu runtuh kami terpaksa melalui jalan alternatif yang jaraknya sejauh 10km jika ingin ke Kg Kebayau.
"Jika jalan ini dibaiki dan diselenggara masa perjalanan dapat disingkatkan kerana jaraknya hanya 3km antara Kg. Melangkap Tomis dengan Kg. Kebayau dibandingkan jalan alternatif yang digunakan sekarang," katanya ketika ditemui Nabalu News.
Wictor berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah melawat dan meninjau keadaan jalan itu sebanyak tiga kali namun tiada tindakan diambil.
"Sebelum ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengadakan lawatan sebanyak tiga kali untuk meninjau jalan itu dan kali terakhir pada bulan lepas (November) tahun ini. Namun masih tidak ada tindakan susulan.
"Kami berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil tindakan kerana keadaan jalan terputus menyusahkan penduduk kampung terutamanya apabila berlaku kecemasan, kami terpaksa mengambil jalan jauh,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk Kg.Melangkap Tiong Anichlose Kesimin berkata, jalan itu termasuk dalam projek menaiktaraf Jalan Melangkap – Piasau pada tahun 2015 dan projek itu telahpun dilaksanakan tetapi apa yang menghairankan kawasan tanah runtuh itu tidak dibaiki.
“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat menyelenggara seterusnya menaiktaraf jalan Melangkap-Kebayau untuk kemudahan penduduk kampung.
“Selain laluan utama penduduk Melangkap Tomis ke Kampung Kebayau, ia juga laluan penduduk Kg.Bundu Paka Lama ke kebun mereka di kawasan itu.
“Sebenarnya bahagian jalan yang runtuh baru-baru ini adalah runtuhan yang keempat berlaku sejak dari tahun 1995 dan sehingga kini runtuhan yang terdahulu tidak pernah dibaiki walaupun kawasan itu sering runtuh,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meninjau kawasan jalan runtuh di Jalan Melangkap Tomis- Kebayau kelmarin.
Katanya, beliau akan membawa perkara itu untuk perhatian pihak berwajib agar tindakan segera dapat diambil.
“Saya akan memastikan semua masalah keperluan asas dan infrastruktur yang diperlukan penduduk Kadamaian diangkat untuk perhatian kerajaan,” katanya.
Comments