Penduduk terjejas banjir harap kerajaan beri bantuan kurangkan beban merekaPenduduk terjejas banjir harap kerajaan beri bantuan kurangkan beban mereka
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penduduk terjejas banjir harap kerajaan beri bantuan kurangkan beban mereka


Keadaan Kampung Dambai Kota Marudu pada Ahad lalu.

6 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA MARUDU: Penduduk kampung di beberapa daerah di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini berharap kerajaan dapat memberikan bantuan untuk mengurangkan bebanan mereka.


Penduduk kampung mengalami banyak kerugian dari segi kerosakan harta benda dan tanam-tanaman akibat banjir.


Dalam perutusan Tahun Baharu 2022 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata, Bantuan Banjir Keluarga Malaysia termasuk bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.


Katanya, bagi kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.


“Kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing- masing. Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir,” katanya.


Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Amanda dari Kg Damai, Kota Marudu berkata banjir kilat baru-baru ini adalah paling teruk sejak 4 tahun yang lalu.


“Kawasan kampung kami sebelum ini memang sering dilanda banjir kerana dekat dengan sungai tetapi tidaklah seteruk ini.


“Banjir kali ini begitu teruk kerana paras air mencecah paras dada sedangkan sebelum ini hanya paras lutut sahaja. Tapi syukurlah sekarang keadaan kembali seperti biasa,” katanya ketika ditemui Wartawan Nabalu News.


Katanya, meskipun rumahnya tidak terkena banjir tetapi jalan besar iaitu jalan perhubungan ke pekan dibanjiri air menyebabkan penduduk kampung terkandas di rumah masing-masing ekoran hujan lebat yang berterusan sejak 31 Disember lalu.


“Syukur rumah kami tidak dimasuki air, tetapi kami terkandas selama dua hari kerana jalan besar iaitu Jalan Simpang Tiga Kota Marudu dan Tandek dibanjiri air sehingga mencecah paras dada.


“Kami terpaksa diam di rumah kerana tidak ada bot untuk ke pekan atau ke mana-mana,” katanya sambil keadaan kini bertambah baik.


Amanda berkata, ramai jiran-jirannya terjejas teruk akibat banjir dan mengalami kerugian kerana semua perabot dan peralatan elektronik rosak atau dihanyutkan oleh banjir kilat.


Tambahnya lagi, walaupun tidak mengalami sebarang kerosakan rumah namun banyak tanaman seperti jagung, terung, sayur daun dan lada semuanya musnah akibat banjir.


“Tanaman kami dan juga penduduk kampung yang lain musnah,” katanya dan berharap kerajaan dapat memberikan sedikit bantuan untuk penduduk kampung yang terjejas teruk.


Amanda juga berharap agar kerajaan dapat merangka pelan strategik khusus untuk mengatasi bencana banjir bagi mengurangkan kesan banjir kepada masyarakat pada masa akan datang.


“Kerajaan perlu menitikberatkan dan melaksanakan dasar seperti pelan pengurangan risiko bencana khususnya kawasan yang sering dilanda banjir.


“Selain itu, sistem perparitan dan saliran sungai juga perlu diperbaiki kerana banjir kilat ini biasanya berlaku ekoran sistem perparitan atau saliran sungai yang tidak diselenggara dengan baik.


“Begitulah yang berlaku kepada kampung kami, sungai dekat kampung tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak jadi, air melimpah ke kawasan berdekatan sehingga berlaku banjir kilat,” jelasnya.

Katanya, lagi, bukan sahaja pihak kerajaan tetapi semua pihak berkepentingan perlu membangunkan rancangan menyeluruh bagi mengurangkan bencana dan krisis alam sekitar.


“Saya juga berharap agar bantuan diberikan secepat mungkin terutamanya kepada mangsa-mangsa banjir secara menyeluruh sama ada bantuan dari segi makanan atau wang tunai untuk membaikpulih segala kerosakan rumah atau harta benda yang hanyut oleh banjir,” katanya.


Sementara itu, salah satu mangsa banjir di Telupid yang hanya mahu dikenali sebagai Brain bersyukur kerana akhirnya banjir telah surut.


“Syukur keadaan banjir di tempat kami kini surut. Kawasan kami tidak terjejas teruk tetapi kami terpaksa berpindah dari rumah sebagai langkah berhati-hati dengan keadaan semasa,” katanya.


Brian berkata, beberapa kawasan di Telupid terjejas teruk sehinggakan penduduk terpaksa berpindah dari rumah mereka.


Jelas beliau, bencana banjir memang jarang berlaku di kawasannya tetapi banjir pada tahun ini agak teruk kerana air sungai naik mendadak.


“Ini disebabkan air dari sungai berdekatan melimpah ke atas jalan raya dan kebanyakkan jalan raya adalah berdekatan dengan sungai,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page