Penetapan Gaji Premium TVET jadi daya tarikan golongan belia
26 September 2024
IPOH: Penetapan kadar gaji premium bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) dijangka dapat menarik minat golongan belia untuk memilih laluan pendidikan ini sebagai pilihan kerjaya masa depan.
Dengan kadar gaji kompetitif antara RM2,500 hingga RM4,000, TVET dilihat mampu mengubah persepsi masyarakat yang sebelum ini menganggap program ini sebagai pendidikan 'kelas kedua'.
Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr Shamsuri Abdullah, menyatakan bahawa langkah menetapkan gaji premium ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan di peringkat global, malah memastikan lebih ramai tenaga mahir kekal dan berkembang dalam pelbagai sektor.
"Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing di negara ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Keputusan ini selari dengan persetujuan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) pada 23 September lalu untuk menetapkan gaji premium bagi lepasan TVET, melebihi pendapatan minimum yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1,500.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mengumumkan bahawa penetapan kadar gaji tersebut bertujuan untuk meningkatkan daya tarikan bidang TVET dalam kalangan belia serta mengiktiraf kepentingan tenaga kerja mahir dalam memajukan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Dr Shamsuri turut menyatakan komitmen PUO untuk melahirkan lebih ramai graduan berkualiti yang memenuhi keperluan pasaran kerja, khususnya dalam bidang TVET. "Dengan sokongan dasar seperti ini, lebih ramai lepasan TVET akan berjaya dan memainkan peranan penting dalam memajukan sektor ekonomi negara," katanya.
Seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai, Mohd Hazim Umar, 19, menyambut baik penetapan gaji premium ini dan menganggapnya sebagai motivasi untuk berjaya dalam bidang yang sedang diceburinya, iaitu Diploma Teknologi Kimpalan. Menurut Mohd Hazim, bidang kimpalan yang dipilihnya kini semakin menjanjikan peluang pekerjaan yang cerah, terutamanya setelah melihat kejayaan abangnya yang juga seorang jurukimpal berpendapatan lumayan.
Begitu juga dengan bekas pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Muhammad Qayyum Abdul Latif, 34, yang menyatakan bahawa penetapan gaji premium ini merupakan satu pengiktirafan kepada tenaga kerja TVET. Beliau menekankan pentingnya pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan agar majikan mematuhi arahan gaji yang ditetapkan oleh MTVET.
"Kita mahu TVET terus berkembang dan menjadi pilihan utama golongan belia dalam menjana pendapatan tetap," tambahnya.
Comments