top of page

Penganjur Songkran Splash Run diambil tindakan, gagal patuhi syarat kelulusan - DBKK

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

20 April 2026


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan terhadap penganjur program Songkran Sunset Splash Run selepas didapati gagal mematuhi syarat kelulusan, khususnya melibatkan aspek penggunaan air, kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.


DBKK dalam kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program tersebut dan sebarang kelulusan yang diberikan adalah tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan.


Menurut DBKK, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan pematuhan terhadap syarat kelulusan acara serta aspek kebersihan bandar raya.


“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur selaras dengan undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa.


“Penganjur diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi memastikan kawasan terlibat kembali kepada keadaan asal,” menurut kenyataan itu.


DBKK memaklumkan, program larian seumpamanya sememangnya digalakkan kerana mampu menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


Pada masa sama, DBKK turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong penganjuran acara yang memberi manfaat kepada Kota Kinabalu, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat dan peraturan.


Sebelum ini tular di media sosial mengenai ‘Pesta Songkran’ atau Pesta Air yang berasal dari Thailand yang diadakan di ibu negeri.


Penganjuran program itu dikecam pelbagai pihak kerana disifatkan membazir air ketika ramai penduduk di sekitar bandar raya berdepan masalah air disebabkan keadaan panas dan kering ketika ini.


Penganjur program itu mendakwa air yang digunakan dalam acara berkenaan adalah berbayar dan perancangan acara telah dibuat enam bulan lebih awal.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page