Pengedar Dadah Warga Tempatan Ditahan
- nabalunews
- Apr 19
- 1 min read

18 April 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Katanya, suspek warga tempatan itu ditahan bersama tujuh paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu).
“Hasil pemeriksaan lanjut, semua dadah yang dirampas dalam simpanan suspek adalah seberat 5.69 gram dan dianggarkan bernilai RM850.00.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang dua tahun serta sebat tidak kurang dari tiga kali.
Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Sammy menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah atau dadah agar tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran untuk membantu usaha pencegahan jenayah.
Comentários