top of page
  • Farah Salim

Pengenalan digital warga asing akan dikeluarkan di Sabah



3 Jun 2022

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meneruskan rancangan mengeluarkan pengenalan digital kepada warga asing di negeri ini membabitkan warga asing yang memegang dokumen standard yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IMM13.


Bagaimanapun, belum ada sebarang keputusan mengenai nama yang akan diguna pakai untuk pengenalan digital warga asing berkenaan.


Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan perkara itu diputuskan selepas mendapat persetujuan pelbagai pihak dalam sesi townhall kelmarin yang dihadiri para pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan pemimpin masyarakat.


Beliau berkata, persetujuan yang dicapai melalui townhall itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri.


Dalam sesi itu, Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah mendapat sokongan 89 peratus daripada peserta yang hadir bagi rancangan mengeluarkan pengenalan digital kepada warga asing di Sabah.


Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah itu berkata, pengeluaran pengenalan digital itu akan membolehkan data warga asing dimasukkan dalam satu sistem bersepadu yang akan dikawal selia oleh Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan.


Pengeluaran pengenalan digital itu akan membantu menyelesaikan masalah warga asing yang sudah berlanjutan di Sabah sejak lebih 30 tahun lalu.


“Kita akan mengambil masa selama tiga hingga enam bulan bagi melaksanakan pengumpulan data dan seterusnya memberi identiti kepada warga asing yang berada di Sabah. Pada peringkat permulaan, kita mewujudkan satu bank data digital secara bersepadu yang boleh dikemas kini setiap masa,” katanya.


Katanya lagi, pengenalan digital itu mungkin akan dikenali dalam pelbagai nama seperti kad warga asing, kad bukan warganegara mahupun kad digital.


Beliau turut melahirkan kebimbangan, pengeluaran pengenalan digital itu akan menjadi satu isu politik yang mengundang ketakutan dalam kalangan rakyat Sabah.


Sekiranya isu warga asing ini tidak diselesaikan, dikhuatiri jumlah mereka akan menjadi lebih ramai hingga menyebabkan keadaan sukar dikawal.


“Itu sebabnya kita perlu menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh. Kini, kerajaan Persekutuan telah memberi peluang untuk menyelesaikan masalah ini maka, kita perlukan sokongan semua pihak termasuk pembangkang,” katanya.

bottom of page