Penggunaan bahasa ibunda perlu digalakkan - Madius
- nabalunews
- Jul 4, 2025
- 1 min read

4 Julai 2025
TUARAN: Penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan masyarakat Momogun, khususnya generasi muda, perlu terus digalakkan agar warisan budaya dan jati diri bangsa itu kekal terpelihara.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, usaha itu boleh diperkukuh melalui pendidikan serta program kesedaran yang dapat melahirkan generasi bukan sahaja berilmu, malah bangga dengan asal usul mereka.
“Pendidikan dan program berbentuk kesedaran memainkan peranan penting dalam memastikan bahasa ibunda seperti Kadazandusun terus dimartabatkan dalam kalangan etnik Momogun.
“Generasi muda perlu dibimbing supaya mereka celik ilmu dan dalam masa sama berbangga dengan identiti serta warisan budaya sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Boros Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, penganjuran karnival inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran itu sangat bertepatan dengan usaha memartabatkan bahasa serta budaya Kadazandusun.
“Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penganjur, para pendidik, pelajar serta komuniti yang telah bersama-sama menjayakan program ini.
“Marilah kita terus memperjuangkan keindahan dan kekayaan budaya kita bersama,” katanya.
Karnival Boros Kadazandusun dilihat sebagai pemangkin dalam menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mempertahankan bahasa ibunda agar tidak pupus, terutama dalam kalangan generasi muda.















Comments