Pengiktirafan Kinabatangan Sebagai Rizab Biosfera UNESCO, Amanah Besar Negeri Sabah
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

11 Januari 2026
KOTA KINABALU: Pengiktirafan daerah Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera UNESCO bukan sekadar pencapaian, tetapi amanah besar yang menuntut komitmen Negeri Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjaga kebersihan, kelestarian alam sekitar dan keseimbangan ekosistem.
“Hari ini menghadiri Majlis Taklimat Bersama Pengusaha Industri Pelancongan di Sukau, Kinabatangan bagi mendengar secara langsung pandangan, cadangan serta keperluan pemain industri berkaitan pembangunan pelancongan mampan di kawasan ini.

“Sukau, Kinabatangan kini diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO, hasil proses pencalonan selama dua tahun dari 2022 hingga 2024,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, beliau mahu daerah Sukau, Kinabatangan muncul sebagai antara pilihan utama pelancong dalam dan luar negara khususnya sempena kempen Tahun Melawat Malaysia.
Katanya, ia sekali gus meletakkan Sabah sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia.
“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa isu pengurusan sampah di kawasan pelancongan Sukau perlu ditangani dengan segera dan lebih tersusun.
“Masalah lambakan sisa pepejal bukan sahaja mencemarkan imej destinasi, malah boleh memberi kesan langsung kepada habitat hidupan liar, kualiti sungai dan pengalaman pelancong.
“Sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa, Sukau tidak boleh berkompromi dalam aspek kebersihan dan pengurusan sisa,” katanya.
Menurutnya, sekiranya perkara itu tidak ditangani secara serius, ia berpotensi menjejaskan reputasi Sukau sebagai Rizab Biosfera UNESCO serta keyakinan pelancong.
“Antara cadangan yang dibincangkan ialah pembinaan rumah sampah sebagai salah satu langkah awal ke arah sistem pengurusan sisa yang lebih sistematik, efisien dan mesra alam.
“Kementerian saya akan meneliti perkara ini secara terperinci bersama pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti setempat bagi memastikan penyelesaian yang praktikal, realistik dan mampan dapat dilaksanakan.
“Saya ingin menegaskan, kementerian saya bersikap terbuka untuk mendengar sendiri suara pemain industri pelancongan dan penduduk setempat.
“Penyelesaian sebenar mesti datang daripada lapangan, bukan semata-mata dari atas meja mesyuarat,” katanya.
Sehubungan itu, Jafry berkata menegaskan, Sukau perlu terus berkembang sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang berkualiti, bersih dan terurus.
“Ia memberi manfaat langsung kepada rakyat bukan sekadar cantik pada nama, tetapi kukuh dari segi pengurusan dan pelaksanaan,”tegasnya.


















Comments