top of page

Penglibatan Komuniti Penting Dalam Menjaga Alam Sekitar

  • nabalunews
  • Jul 5, 2025
  • 1 min read

5 Julai 2025


KOTA KINABALU: Usaha pemuliharaan alam sekitar memerlukan kesedaran tinggi, sokongan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat.


Ia bagi memastikan penjagaan alam sekitar sentiasa dilakukan dengan baik selain terus diperkukuh dari semasa ke semasa khususnya untuk pemuliharaan jangka panjang.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, penjagaan alam sekitar bukan terletak pada pihak Kerajaan semata-mata sebaliknya ia perlu melibatkan tanggungjawab bersama.

Katanya, semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang boleh memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tujuan untuk berjaya dicapai.


“Ini kerana saya percaya bahawa hubungan erat antara komuniti dan alam sekitar perlu terus diperkukuh.


"Masyarakat setempat bukanlah pemerhati, tetapi rakan kongsi penting dalam menjayakan pemuliharaan jangka panjang, tanpa penglibatan komuniti, mana-mana usaha pemuliharaan tidak akan berjaya sepenuhnya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bulan Renjer Muda Taman-Taman Peringkat Kebangsaan 2025 menerusi Multiplatform (Zoom, Facebook dan Youtube Rasmi Taman-Taman Sabah di sini baru-baru ini.


Program itu berjaya diadakan dengan kehadiran l,770 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan orang awam di seluruh negara.


Christina berkata, semua pihak digesa supaya terus menyayangi alam sekitar yang sememangnya menjadi sumber kehidupan harian kepada masyarakat.


“Pertama, sayangi alam sekitar kerana ia adalah sumber kehidupan kita. Segala keperluan asas seperti udara bersih, air, makanan dan tempat perlindungan datang dari alam. Justeru, kita perlu melindungi dan memuliharanya untuk kesejahteraan kita semua.


“Kedua, teruskan mencari ilmu tentang alam, menerusi program ini, para pelajar berpeluang mengenali lebih dekat ekosistem marin di Taman Tun Mustapha, memahami fungsi penting serangga.


“Serta menyelami usaha pemuliharaan penyu di taman pulau-pulau penyu. Semua ini ilmu bernilai dan wajar disebarluaskan kepada komuniti,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page