Penguatkuasaan larangan kempen berlebihan membunuh demokrasi - Bersih 2.0Penguatkuasaan larangan kempen berlebihan membunuh demokrasi - Bersih 2.0
top of page
  • Farah Salim

Penguatkuasaan larangan kempen berlebihan membunuh demokrasi - Bersih 2.0


12 Nov 2021 Oleh Farah Salim KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan yang berlebihan yang diambil oleh pihak polis dengan menemgenakan denda berat kepada ahli politik dan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atas tuduhan melanggar SOP dilihat menekan sistem demokrasi di negara ini. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berkaya insiden di mana seorang individu di Alor Gajah telah didenda sebanyak RM4,000 kerana ‘menjalankan kempen pilihan raya dengan cara memakai jaket berlambang Pakatan Harapan (PH)’ adalah mengarut dan berlebihan. “Ini juga terkait dengan satu lagi laporan di mana Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis ‘menyerbu’ mesyuarat Majlis Presiden PH di Melaka dan hanya berundur apabila ditunjukkan bahawa mesyuarat parti dibenarkan di bawah garis panduan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPR). “Ini hanya menunjukkan bahawa larangan dan denda bukan lagi untuk mengawal COVID-19 tetapi menekan kempen pilihan raya secara keseluruhan,” kata Jawatan Kuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan media, baru-baru ini. Menurut gabungan itu lagi, pilihan raya bukan hanya sekadar membuang undi pada hari pengundian tetapi turut merangkum keseluruhan proses kempen di mana semua calon dan parti politik mempersembahkan diri mereka kepada pengundi agar mereka dapat membuat keputusan berasaskan maklumat. Sebelum ini, BERSIH 2.0 menekankan bahawa walaupun langkah berhati-hati perlu diambil untuk mengelakkan penularan COVID-19, larangan kempen pilihan raya secara total bukanlah penyelesaian kerana ia menjejaskan pilihan raya bebas dan adil. Gabungan itu meluahkan rasa kecewa dengan kurangnya inisiatif dan langkah pro-aktif oleh SPR untuk memudahkan dan menyediakan cara kempen yang selamat di Melaka. “Lebih teruk pilihan raya kini seakan diuruskan oleh KKM dan polis, walaupun sebenarnya SPR secara perlembagaan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pilihan raya dalam negara. “BERSIH 2.0 dengan tegas membantah larangan total serta penguatkuasaan berlebihan dan denda dikenakan kepada calon-calon dan sesiapa yang berkempen di Melaka. “Kami menggesa larangan kempen fizikal secara total dibatalkan dan garis panduan yang selari dengan Fasa 4 PPN disediakan dalam minggu terakhir berkempen.” BERSIH 2.0 juga menggesa semua calon-calon dan jenteranya untuk bertanggungjawab sepanjang masa dengan mematuhi arahan pemakaian pelitup muka dan penjarakan semasa berkempen.

bottom of page