top of page
nabalunews

Pengunaan kupon ‘gores’ letak kereta DBKK ditamatkan mulai 16 November




24 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa penggunaan kupon gores fizikal bagi pembayaran parkir di Bandaraya Kota Kinabalu akan ditamatkan pada 16 November ini.


Menurut Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, bermula pada tarikh tersebut, penggunaan kupon fizikal tidak lagi dibenarkan, dan semua transaksi pembayaran parkir akan dilakukan secara digital melalui aplikasi Sabah Smart Parking.


Katanya pengguna yang masih memiliki kupon gores boleh menukarkannya kepada nilai kredit di kaunter atau pondok parkir.


Selepas 16 November, kupon gores tidak lagi sah digunakan.


Dr Sabin berkata bagi membantu pengguna yang menghadapi kesukaran untuk beralih sepenuhnya kepada sistem digital seperti mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, tidak mempunyai akses internet, atau menghadapi kesukaran lain seperti tiada kemudahan perbankan dalam talian, petugas di kaunter atau pondok letak kereta akan menyediakan bantuan.


"Ini termasuk bantuan dalam pembelian kredit parkir, muat turun aplikasi, dan tambah nilai. Golongan warga emas juga diutamakan dalam inisiatif ini, untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam peralihan ke sistem digital," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.


Dr Sabin juga mengingatkan warga Bandaraya Kota Kinabalu untuk menanfaatkan Program Pengampunan "Jom Bayar Kompaun" yang telah dilancarkan pada 16 Oktober lalu dan akan berakhir pada 31 Oktober ini.


Program ini memberi peluang kepada pengguna yang mempunyai tunggakan kompaun untuk melunaskannya sebelum 31 Oktober ini.


Beliau menegaskan bahawa tiada lagi pengampunan kompaun akan diberikan selepas tamatnya tempoh program ini.


Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi DBKK Holdings Sdn. Bhd. di talian 088-270181.


Penamatan penggunaan kupon fizikal ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKK untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam mempercepatkan dan mempermudahkan urusan harian warga bandaraya, selari dengan aspirasi untuk menjadikan Kota Kinabalu bandaraya pintar dan mesra alam.

Comments


bottom of page