Pengundi muda Tuaran mahu perubahan kepimpinan negara, sokong PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengundi muda Tuaran mahu perubahan kepimpinan negara, sokong PH



14 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Majoriti pengundi muda Parlimen P170 Tuaran mahukan perubahan tampuk kepimpinan negara dan menyokong Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.


Pg Azhar Azlan, 22, berkata, sudah tiba masanya negara ini dipulihkan daripada pelbagai kemelut termasuk amalan salah guna kuasa dan korupsi dalam kalangan pemimpin.


“Kita telah melihat pemimpin tertinggi negara telah didapati bersalah dan didakwa atas kesalahan rasuah selain beberapa pemimpin lain yang kini dalam proses perbicaraan di mahkamah.


Pg Azhar Azlan

“Baru-baru ini juga tular klip video ucapan presiden sebuah bekas parti pemerintah yang menyatakan kemenangan dalam PRU15 amat penting untuk menyelamatkan diri beliau dan beberapa ahli sekutu politik daripada pendakwaan rasuah.


“Ia sesuatu yang tidak betul dan perlu dihentikan,” tegasnya yang merupakan pelajar lepasan Program Diploma Pengurusan Hotel di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Kota Kinabalu.


Turut senada dengan beliau ialah Arief Hambali J. Indan, 29, dari Kampung Telibong Tamparuli.



Ujarnya, sewaktu PH memerintah selama 22 bulan, indeks persepsi rasuah negara menunjukkan prestasi yang lebih baik di peringkat antarabangsa.


“Pada era zaman pemerintahan Barisan Nasional pada 2017, Transparency International melaporkan negara kita berada pada kedudukan ke-62. Namun pada era pemerintahan PH pada 2019, persepsi rasuah negara menunjukkan penurunan drastik hingga ke 51.


“Setelah Perikatan Nasional dan BN mengambil alih pemerintahan negara, tidak sampai 2 tahun, Indeks Persepsi Rasuah dah Kembali naik balik ke-62. Kita memerlukan kepimpinan yang bersih untuk jaminan kestabilan negara,” katanya.


Bagi Mohd Hazree Yong, 26, beliau memaklumkan negara ketika ini memerlukan pemimpin yang berwibawa bagi melaksanakan pemulihan ekonomi akibat krisis kewangan yang kritikal.



“Inflasi dan kenaikan harga barang sangat membebankan terutama bagi orang-orang muda seperti kami yang sedang dalam proses memulakan kehidupan secara berdikari.


“Nilai ringgit Malaysia juga terus jatuh menjunam selain kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali yang keempat berturut turut kepada 2.75 peratus pada awal bulan ini.


“Sebagai Menteri Kewangan Terbaik dunia yang diiktiraf Euro Money Megazine pada tahun 1993 serta pengiktirafan Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Megazine pada tahun 1996, Anwar merupakan pemimpin yang tepat menerajui Malaysia untuk memulihkan ketidakstabilan ekonomi yang sedang melanda negara,” katanya


Sementara itu Jivience Evan Juneh, 24, memberitahu PRU15 baginya bakal menjadi suatu gelombang kebangkitan anak muda dalam menentukan hala tuju negara.



“Inilah masanya kita menentukan siapa pemimpin yang mampu mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan negara.


“Kita mahu mereka yang boleh memimpin rakyat berbilang kaum dan agama termasuk mendengar dan mengangkat suara anak muda dalam pembentukan dasar-dasar dan hala tuju negara.


“Untuk itu, saya menyeru kepada semua anak-anak muda untuk turun membuang undi pada 19 November ini kerana setiap undi anda, menentukan masa depan kita dan negara,” katanya.


Mohd Faiz Tamin, 26 pula memberi peringatan kepada setiap anak muda agar tidak mudah terpengaruh sekiranya ada pihak-pihak tertentu meraih undi dengan cara yang salah dan tidak berintegriti.



“Saya kurang pasti, cuma sebelum ini ada desas-desus menyatakan wujud pembelian undi dari parti-parti tertentu.


“Mungkin ada betulnya, dan mungkin juga tidak, tetapi saya ada terlihat beberapa hantaran di media sosial yang menyatakan ‘ada duit, ada undi.’


“Pesanan saya, jangan gadaikan maruah dan masa depan dengan aktiviti berunsurkan rasuah seumpama ini,” tegasnya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page