PENGUSAHA NANAS TANAH TINGGI KERUGIAN AKIBAT PKPBPENGUSAHA NANAS TANAH TINGGI KERUGIAN AKIBAT PKPB
top of page
  • nabalunews

PENGUSAHA NANAS TANAH TINGGI KERUGIAN AKIBAT PKPB


NIKSON memasukkan nanas dalam plastik untuk dijual.

21 OKTOBER 2020


Oleh Wartawan Nabalu News

TAMPARULI: Pengusaha ladang nanas tanah tinggi di kawasan Pekan Nabalu kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu terpaksa menanggung kerugian ekoran kesukaran memasarkan hasil tanaman nanas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ada diantara mereka terpaksa membiarkan nanas yang sudah masak tidak dituai di ladang.

Sehubungan itu kesediaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah membantu memasarkan hasil nanas di kawasan Kampung Tomis-Tiong-Lokos memberi sedikit kelegaan kepada mereka.

Seorang pengusaha nanas di Kg.Tomis Tamparuli Nikson Dauni menyambut baik usaha kerajaan membantu para pekebun nanas di seluruh Sabah khususnya kawasan Pekan Nabalu.


Beliau berkata, ini kerana kawasan sekitar Pekan Nabalu yang majoritinya pengusaha nanas tanah tinggi amat mengharapkan bantuan agensi kerajaan seperti Fama untuk membantu mereka memasarkan hasil pertanian terutamanya tempoh PKPB.

“Kami mengalami kerugian disebabkan kesukaran pemborong sedia ada mengambil bekalan nanas. Banyak nanas yang sudah masak terpaksa dibiarkan rosak di ladang.

“Ini menjejaskan sumber pendapatan petani malah memberi tekanan emosi terutama mereka yang sepenuhnya bergantung harap kepada perusahaan nanas,” katanya ketika ditemui Wartawan Nabalu News, hari ini.

Nikson yang juga seorang pendidik di SK Tomis berkata, sebelum ini beberapa pemborong atau orang tengah datang memajak nanas di kawasan itu dengan harga antara RM1 hingga RM2 sekilogram.

“Harga sebegitu tidak berbaloi jika dibandingkan kesukaran dan penat lelah petani mengusahakan tanaman mereka selama satu tahun setengah sehingga mengeluarkan hasil.

“Bagaimanapun kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada para pemborong dan orang tengah kerana sekurang-kurangnya ia memudahkan para petani menjual hasil tanaman mereka,” katanya.

Nikson mengusahakan tanaman nanas paun atau dikenali sebagai nanas bukit atau nanas tanah tinggi.

Kebanyakan pengusaha nanas di kawasan itu menjual hasil nanas mereka kepada pemborong dari Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. Sebahagiannya pula memasarkannya di tamu Tamparuli, Ranau, Kota Kinabalu, Kudat dan Kota Marudu.

Sementara itu seorang lagi pengusaha nanas di Kampung Tomis Lama, Punggin Maradan menyambut baik kesediaan pihak Fama memasarkan hasil pertanian nanas para petani di Pekan Nabalu.

“Kami berterima kasih kepada pihak Fama kerana mengambil inisiatif itu,” katanya yang mengusahakan tanaman nanas jenis maspine seluas lima ekar, sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, sebelum ini, mereka memasarkan sendiri tuaian nanas di pekan Tamparuli tetapi ekoran PKPB mereka tidak dapat memasarkannya.

PUNGGIN menunjukkan cara menanam nanas di kawasan tanah tinggi.

“Semasa pandemik Covid-19, kami hanya mengharap orang tengah membeli nanas tetapi mereka juga mengalami kesukaran untuk melakukan pergerakan semasa PKP.

“Ada juga yang mempunyai surat pelepasan keluar daerah untuk membeli nanas tapi kebanyakan masa semua pemborong mengatakan tidak dapat keluar kerana berada dalam kawasan PKPD,” katanya.

PEMANDANGAN ladang nanas Dominik.

Pendapat Punggin disokong oleh Dominik Taisin.

Dominik berkata, usaha pihak Fama tepat pada masanya.

“Kami sudah lama menunggu kehadiran pihak Fama untuk membantu kami memasarkan hasil pertanian terutamanya nanas.

“Sebelum ini kami menjualnya kepada pemborong dari Tawau dengan harga RM2 sekilogram,” katanya dan menambah, nanas yang baru dituainya di ladang kelmarin seberat 1,400kg akan dijual kepada seorang pemborong dari Tawau.

Beliau berkata: “Memandangkan kawasan pantai timur antara daerah yang mempunyai kes tertinggi Covid-19, maka sebagai langkah berjaga-jaga, saya meminta pemborong berkenaan menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19 dan surat kelulusan rentas daerah sebelum berurusan dengannya”.


bottom of page