Peningkatan kes Covid baharu di Sabah sudah diramal – MasidiPeningkatan kes Covid baharu di Sabah sudah diramal – Masidi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Peningkatan kes Covid baharu di Sabah sudah diramal – Masidi


24 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 yang terus meningkat di Sabah sudah diramal awal berdasarkan kadar peratusan kes-kes sporadik yang tinggi, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.


Menurutnya, jumlah kes baharu yang dicatatkan pada hari ini adalah 622 kes iaitu peningkatan sebanyak 96 kes berbanding kes semalam iaitu 526.


"Jumlah yang tinggi ini sebenarnya tidak mengejutkan, malah sudah diramal awal dengan mengambil kira kadar peratusan kes-kes sporadik yang tinggi (saringan bergejala). Peratusan kes-kes sporadik secara konsisten berada pada tahap 35 hingga 40 peratus sejak beberapa minggu.


"Jangkitan akan berlaku lebih cepat apabila virus berada di tengah-tengah masyarakat yang mengambil ringan keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat penjagaan kesihatan yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Dalam pada itu, sebanyak 13 daerah telah mencatatkan peningkatan kes dengan empat daerah menunjukkan peningkatan yang sangat drastik iaitu Tuaran dengan pertambahan 57 kes, Ranau (46 kes), Kota Belud (38 kes) dan Kinabatangan (35 kes).


"Adalah diperhatikan kesemua 39 kes baharu di Kinabatangan hari ini adalah daripada Kluster Sawit Jati. Sebanyak 12 daerah lagi mencatatkan penurunan dengan enam daerah menunjukkan penurunan jumlah yang agak naik.


"Namun jumlah keseluruhan kes bagi daerah-daerah yang mencatatkan penurunan tidak dapat mengatasi jumlah kes daerah-daerah yang mencatatkan pertambahan," ujar Masidi.


Tambahnya lagi, daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini, 609 kes atau 98 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2 yang lazimnya bukan dalam kategori yang serius.


Manakala, hanya dua pesakit adalah dalam Kategori 3 dan Kategori 4 serta tiga pesakit dalam Kategori 5. Sementara itu, enam kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).


“Sebanyak lima kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Beaufort manakala masing-masing satu kes di Nabawan, Kota Kinabalau dan Tuaran.


“Bilangan pesakit sembuh pada hari ini ialah 378 termasuk yang discaj dari hospital dan PKRC menjadikan jumlah kumulatif 219,480 orang.


“Manakala 1,656 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 671 orang di hospital, 967 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 18 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.


“Bagi bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 76 orang merangkumi 70 di ICU serta enam di kubikel akut dan 29 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” tambahnya.


Masidi berkata, bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 64 atau 30.48 peratus.

bottom of page