top of page

Peningkatan kualiti perkhidmatan MAN diperlukan melalui transformasi kepimpinan dan budaya profesionalisme - Joachim

nabalunews

19 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkara Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah perlu melaksanakan transformasi kepimpinan dalam membudayakan sikap profesionalisme di kalangan anggotanya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya.


Menurut Joachim, usaha ini penting untuk meningkatkan keyakinan dan persepsi orang awam terhadap MAN.


"Transformasi kepimpinan memerlukan tekad, komitmen dan usaha yang berterusan dari semua pihak yang berkaitan," tegasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang Siri 5 Tahun 2024 di sini hari ini, lapor Bernama.


Kursus tersebut dianjurkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) dengan melibatkan 203 peserta dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kundasang, Karanaan dan Paginatan.


Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, JHEANS mengambil berat akan keperluan ketua-ketua adat sebagai komponen penting MAN dalam memastikan perkhidmatannya diperkasakan.


Jelas beliau, melalui kursus ini, para ketua adat boleh menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berkesan dan profesional, sekali gus mencerminkan imej dan budaya korporat MAN yang cemerlang.


Beliau menyeru para ketua adat agar sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang untuk mempelajari ilmu baharu dan agresif dalam meningkatkan pengetahuan mereka.

Comentarios


bottom of page