- nabalunews
Penjawat awam boleh semak kadar gaji baharu minggu depan
6 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan, susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, pada 16 Ogos ini.
Mohd Shaiful dipetik Bernama sebagai berkata, “Pada MAPPA 16 Ogos ini, kita sediakan perkhidmatan kalau hendak kira berapa kenaikan akan berlaku pada gaji kita.
“Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji kita. Pada 1 Disember, akan berlaku kenaikan gaji dan hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji yang baharu,” katanya di sini semalam.
Mohd Shaiful berkata, SSPA itu terpakai kepada perkhidmatan awam Persekutuan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling mengenainya.
“Bagi penjawat awam negeri serta Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan, jika mereka menerima SSPA ini, ia menerima pakai semua sama seperti penjawat awam Persekutuan,” katanya.
Ditanya mengenai kebaikan SSPA, Mohd Shaiful berkata, selain kenaikan gaji, sistem itu juga merangkumi pembangunan organisasi dan bakat pegawai serta manfaat kepada pesara.
“Mengikut Akta Pencen, jika berlaku kenaikan gaji kepada pegawai (sedang) dalam perkhidmatan, pesara-pesara juga akan terkesan. Jadi, bermaksud mereka juga akan menerima kenaikan mengikut formula-formula yang ditetapkan,” katanya.
Mengenai kajian semula skim pencen termasuk pengenalan kaedah caruman seperti dilaksanakan pihak swasta, Mohd Shaiful berkata, kerajaan memberi jaminan faedah yang akan dinikmati penjawat awam tidak akan kurang daripada ketika ini.
“Kerajaan tidak akan menanggung beban kewangan berterusan dan pegawai juga tidak menanggung kerugian. Faedah dinikmati pegawai akan sama, tidak kurang daripada orang yang dapat pencen … akan ada caruman pekerja dan majikan,” katanya.
Mohd Shaiful berkata, pada tahun lalu, kerajaan menanggung kira-kira RM32 bilion untuk pembayaran pencen penjawat awam dan jumlah berkenaan meningkat RM2 juta setiap tahun.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam supaya sentiasa memberikan komitmen tinggi dan meningkatkan prestasi kerja selari dengan kenaikan gaji.
Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata, beliau percaya kerajaan mahu melihat penjawat awam membuktikan kemampuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selaras dengan kadar baharu gaji yang akan diumumkan perinciannya.
"Kenaikan gaji atau kadar baharu gaji ini diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 1 Mei lepas dan perinciannya akan diumumkan 16 Ogos ini, manakala pelaksanaannya pula pada Disember. Maksudnya kerajaan hendak lihat lebih awal sumbangan kita (penjawat awam) sebelum gaji dinaikkan.
"Jangan lagi ada soal integriti dan soal yang boleh dipertikai oleh netizen (masyarakat) kerana mereka ini mata dan telinga kerajaan. Kita sentiasa diperhatikan walaupun kita beri yang terbaik, sedikit kelemahan sudah pasti akan menjadi isu besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Bersama Presiden Cuepacs di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, hari ini.
Bagaimanapun, Adnan memberi jaminan bahawa penjawat awam sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas dan ia dibuktikan melalui peranan penting dimainkan mereka sebagai barisan hadapan semasa penularan pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.
Comments