Penjawat Awam Rugi Diperdaya ‘Scammer’
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

11 Jun 2025
RANAU: Seorang penjawat awam kerugian RM13,000 selepas diperdaya pemanggil yang menyamar sebagai pegawai polis dan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Wanita berusia lingkungan 30-an dikatakan menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa dari Kementerian Komunikasi dan Digital, pada 27 Mei lalu.
Mangsa kemudiannya dimaklumkan nombor telefonnya terlibat dalam aktiviti penyebaran mesej palsu berkaitan pelaburan, tawaran kerja dan perjudian.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Katanya, pada 29 Mei lalu, mangsa diarah untuk memindahkan wang sebanyak RM13,000 ke akaun atas nama Muhammad Azlan kononnya bagi tujuan ‘perlindungan akaun’.
“Mangsa kemudiannya diarah untuk menghantar gambar dan maklumat peribadi setiap tiga jam kononnya sebagai ‘laporan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa menyedari dirinya ditipu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Ranau, semalam.
“Kes dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”’katanya.
Sehubungan itu, Murasalin menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis atau mana-mana agensi kerajaan,” katanya.
Katanya, orang ramai turut diingatkan agar tidak mendedahkan maklumat peribadi, nombor akaun bank, gambar kad pengenalan atau melakukan sebarang transaksi kewangan atas arahan menerusi panggilan telefon.
“Langkah yang perlu dilakukan iaitu semak kesahihan panggilan dengan mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai polis berhampiran,” katanya.
Comments