PENJENAMAAN SEMULA UPKO DI MATA GENERASI MUDA - MAXOLVIN SINTOREPENJENAMAAN SEMULA UPKO DI MATA GENERASI MUDA - MAXOLVIN SINTORE
top of page
  • nabalunews

PENJENAMAAN SEMULA UPKO DI MATA GENERASI MUDA - MAXOLVIN SINTORE



6 Julai 2021


Pada tahun 2019, United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) secara rasminya telah dijenamakan semula kepada United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO).


Satu hal yang paling ketara dalam penjenamaan ini adalah pada perubahan nama parti UPKO itu sendiri yang mana perkataan “Pasokmomogun Kadazandusun Murut” telah ditiadakan.


Walaupun secara dasarnya parti UPKO ini memang sebuah parti berbilang bangsa, namun UPKO kelihatan berteraskan kepada komuniti Kadazandusun Murut sebelum ianya dijenamakan semula.


Perubahan ini sememangnya satu langkah berani maju kehadapan buat UPKO kerana ianya berisiko untuk kehilangan sokongan daripada akar umbi komuniti Kadazandusun Murut yang belum memahami sepenuhnya maksud dan tujuan penjenamaan semula UPKO.


Dan ternyata benar, UPKO mengalami kekalahan yang cukup besar pada PRN Sabah yang lalu.


Kita sedia maklum, pandemik Covid-19 yang telah “menyerang” dunia bermula awal tahun 2020 dan di Sabah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mula dilaksanakan pada Mac 2020.


Keadaan ini mengekang UPKO memberikan ruang dan masa untuk memberi penerangan terperinci kepada akar umbi mengenai tujuan dan sebab-sebab utama penjenamaan semula UPKO di seluruh pelusuk Sabah yang akhirnya mengakibatkan kurangnya kefahaman diperingkat akar umbi.


Walaupun UPKO telah dijenamakan semula, namun perjuangan UPKO adalah tetap konsisten. Sebagai satu contoh yang jelas, dalam soal menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, UPKO merupakan satu-satunya parti yang telah membuat satu kajian terperinci mengenai isu ini dan akhirnya kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu ini.


Namun, sehingga hari ini belum ada tindakan agresif daripada pihak kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu ini.


Sebagai Generasi Muda, penjenamaan semula UPKO daripada nama yang menggunakan etnik tertentu kepada satu nama yang lebih inklusif merupakan satu tindakan yang tepat. Ini kerana, saya berpendapat bahawa kekuatan politik Sabah adalah bergantung kepada seluruh rakyat tulin Sabah tanpa mengenal identiti tertentu.


Ini kerana, bukan hanya etnik tertentu yang memerlukan suara dan harapan mereka didengar diperingkat lebih tinggi, tapi seluruh rakyat Malaysia amnya dan Sabah khasnya.


Politik tradisional Sabah yang berasaskan identiti dan fitnah kebencian jelas tidak membawa kebaikan kepada Sabah malah hanya menyebabkan pertelingkahan demi untuk kuasa yang mana hasilnya sekarang Sabah masih jauh dibelakang mahu dari segi pembangunan infrastuktur atau ekonomi. Mentaliti berpolitik untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan diri sendiri juga harus dihapuskan untuk menjadikan Sabah ini lebih progresif.


Kalau kita boleh duduk satu meja di kedai kopi tanpa mengira identiti, mengapa tidak boleh duduk di satu bumbung parti politik untuk memperjuangkan hak-hak kita sebagai Sabahan?


Ketua Exco Generasi Muda UPKO Malaysia,

Maxolvin Sintore

bottom of page