top of page

Penolakan Usul Persendirian ADUN Kapayan Tidak Jejaskan Tuntutan Hak 40 Peratus Sabah

  • nabalunews
  • May 4
  • 2 min read

4 Mei 2026


KOTA KINABALU: Penolakan usul persendirian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini dibuat berdasarkan kuasa serta keputusan Speaker DUN dan bukan mencerminkan penolakan terhadap perjuangan hak 40 peratus Sabah.


Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Armizan Mohd Ali menegaskan, tindakan itu tidak harus disalah tafsir sebagai pendirian Dewan atau Kerajaan Negeri menolak tuntutan berkenaan.


Katanya, Kerajaan Negeri kekal konsisten dalam memperjuangkan hak 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada melalui rundingan mahupun tindakan perundangan, termasuk prosiding mahkamah yang melibatkan Sabah Law Society (SLS) dan Kerajaan Persekutuan.


“Kerajaan Negeri tegas bahawa hak 40 peratus merupakan hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan.


“Kerajaan Negeri telah memperjelaskan perkembangan rundingan berkaitan pemberian khas, termasuk sasaran peningkatan daripada kadar semasa RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun pada peringkat awal.


“Sabah bukan sahaja menuntut peningkatan, tetapi mahu pelaksanaannya disegerakan,” katanya pada sidang media, hari ini.


Armizan turut menyifatkan usul yang dibawa ADUN Kapayan sebagai bermotifkan politik, termasuk usaha membina naratif tertentu berkaitan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Sementara itu, Armizan turut membangkitkan beberapa keputusan pentadbiran terdahulu di bawah kerajaan Parti Warisan Aabah (Warisan) pada tahun 2019, termasuk pendirian untuk tidak membawa isu tuntutan ke mahkamah serta persetujuan terhadap semakan pemberian khas pada kadar RM53.4 juta.


“Apa dia kesilapan besar Warisan yang tidak boleh dipadam dalam sejarah. Pertama pada Ogos 2019, Ketua Menteri kerajaan Warisan menyebut di dalam Dewan Undangan Negeri bahawa kerajaan negeri menganggap tidak wajar membawa kes ke mahkamah untuk menentang kerajaan persekutuan dalam isu MA63 termasuk 40 peratus. Itu yang pertama kekhilafan mereka.


“Yang kedua, Oktober 2019, kerajaan Warisan melalui mesyuarat jemaah menteri pada masa itu telah memutuskan bersetuju untuk semakan kadar 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dengan hanya 53.4 juta sahaja.


“Itu persetujuan bertulis kepada surat daripada Kementerian Kewangan kerajaan persekutuan. Jadi bagi saya usul persendirian itu mahu potong corner, tidak mahu tinggal kapal tapi juga untuk orang bilang timbus kekhilafan yang telah dibuat oleh kerajaan Warisan sebelum ini,” katanya.


Dalam pada itu, Armizan menyatakan keyakinan terhadap Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian serius terhadap tuntutan Sabah, selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mengiktiraf hak 40 peratus Sabah sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan.


“Pendirian ini merupakan satu perkembangan penting berbanding pentadbiran terdahulu. Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor komited untuk memastikan Sabah memperoleh kadar pemberian khas yang lebih tinggi, sejajar dengan hak dan kepentingan negeri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page