PENTARAMA X JAPEN platform tingkat kesedaran internet selamat
- nabalunews
- May 4
- 1 min read

4 Mei 2026
TAWAU: Program PENTARAMA X JAPEN menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melayari internet secara selamat serta memahami risiko penyalahgunaan teknologi dalam kalangan pelajar, melalui pendekatan didik hibur yang interaktif.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) itu menyasarkan pelaksanaan di 40 buah sekolah terpilih melibatkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri, susulan sambutan menggalakkan serta impak positif terhadap pelajar.
Menurutnya setakat ini sebanyak 21 program telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan yang memberangsangkan.
“Untuk tahun ini, kita menyasarkan 40 program melibatkan 40 buah sekolah di seluruh Sabah dan setakat ini 21 program telah selesai dilaksanakan dengan sambutan yang sangat menggalakkan.
“Kita mendapati pendekatan didik hibur mampu memberi kesan positif kepada pelajar, selaras dengan objektif utama program ini untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan internet secara selamat serta risiko penyalahgunaan teknologi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku yang berlangsung di Dewan SMK Tawau, di sini, Khamis lepas.
Jelasnya, pelaksanaan program itu turut melibatkan sekolah daripada pelbagai aliran termasuk di kawasan pedalaman bagi memastikan mesej berkaitan keselamatan internet serta isu buli siber dapat disampaikan secara menyeluruh kepada semua lapisan pelajar.
Dalam pada itu, Jainisah berkata JAPEN turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada pelajar.
Antara rakan strategik yang terlibat termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).















Comments