Penumpang pesawat MAS ke Seoul berpatah balik, layak tuntut bayaran balik tambang dalam tempoh 30 hari – Mavcom
- nabalunews
- Sep 2, 2024
- 2 min read

2 September 2024
KUALA LUMPUR: Penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH66 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, boleh menuntut bayaran balik tambang daripada syarikat penerbangan berkenaan.
Pengarah Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, (MAVCOM), Pushpalatha Subramaniam berkata, penumpang berkenaan layak mendapat tuntutan dalam tempoh 30 hari di bawah pindaan terbaharu kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 MAVCOM, yang berkuat kuasa hari ini, lapor Buletin TV3.
“Jika mereka membayar secara tunai, maka syarikat penerbangan berkenaan perlu membayar balik secara tunai. Jika melalui kad kredit, tuntutan akan dibayar ke dalam kad kredit dan jika melalui mata ganjaran syarikat penerbangan, maka pembayaran balik akan dalam bentuk mata ganjaran.
“Semuanya bergantung kepada cara pembayaran,” katanya dalam sidang akhbar MAVCOM berhubung pembentangan mengenai pindaan terbaharu MACPC.
Sebelum ini, syarikat penerbangan perlu menyediakan makanan, panggilan, akses internet, penginapan hotel dan pengangkutan antara hotel dan lapangan terbang kepada penumpang, sekiranya mengalami kelewatan penerbangan selama lima jam atau lebih.
Justeru, katanya pindaan terbaharu ini memberikan fleksibiliti dan kawalan kepada pengguna yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka semasa berlaku kelewatan penerbangan.
Had masa untuk pengguna mengemukakan aduan juga dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun.
Terdahulu, FlightRadar menunjukkan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH66 berlepas dari KLIA ke Seoul pada jam 11.50 malam tadi.
Menurut penjejak penerbangan global itu, pesawat Airbus A330-323 tersebut berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 12.34 pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines (MAS) turut mengesahkan penerbangan MH66 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan semalam, berpatah balik sebagai tindakan berjaga-jaga susulan masalah teknikal dengan sistem hidraulik.
MAS berkata, penerbangan ke Incheon dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D dan dijadual berlepas jam 8 malam ini.
“Pesawat itu selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1.30 pagi tadi.
“Semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel manakala penerbangan dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D yang berlepas jam 8 malam ini, 2 September,” menurut MAS dalam kenyataan itu.
Comments