top of page

Penurunan kedudukan Malaysia dalam CPI menyedihkan: Lim Guan Eng

Wartawan Nabalu News

27 Januari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Penurunan kedudukan Malaysia secara drastik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021 amat menyedihkan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Beliau berkata, penurunan lima mata daripada 53 markah pada 2019 kepada 48 pada tahun 2022 menambah senarai kegagalan Malaysia yang mengesahkan persepsi yang semakin kuat tentang negara gagal seperti yang diketengahkan oleh Bloomberg dalam Julai 2021. "Kedudukan Malaysia yang jatuh ke tangga ke-62 daripada tangga ke-57 pada 2020 merupakan kedudukan yang paling rendah pernah dicatatkan. "Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar adalah antara negara Islam berprestasi terbaik dalam CPI, masing-masing dengan 69 mata dan 63 mata," katanya dalam satu kenyataan kelmarin. Guan Eng berkata, TI Malaysia (TI-M) turut menjelaskan walaupun Malaysia telah melancarkan Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP) pada 2019, ianya tidak bermakna jika tidak dikuatkuasakan dan tidak disertai dengan reformasi institusi yang dijanjikan, antaranya Undang-undang Anti Lompat Parti. "Ini adalah salah satu sebab mengapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar Perlembagaan Persekutuan dapat dipinda segera untuk menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti menjelang sidang Parlimen Mac ini. "Ini bagi mengelakkan pembelotan melalui "pembelian" oleh wakil rakyat yang dipilih dan pengkhianatan mandat pengundi," katanya. Jelas Guan Eng keperluan untuk mereformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga disentuh oleh TI-M supaya suruhanjaya itu benar-benar bebas di samping meletakkannya di bawah bidang kuasa Parlimen serta melindungi pemberi maklumat yang tidak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page