Penyelarasan pembangunan keusahawanan kerajaan negeri, persekutuan elak pertindihan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyelarasan pembangunan keusahawanan kerajaan negeri, persekutuan elak pertindihan: Ewon


16 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penyelarasan semua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan penting bagi mengelak pertindihan penerima pembiayaan.


Beliau berkata, pengwujudan jawatankuasa penyelarasan itu juga bertujuan untuk memantapkan lagi kerjasama dan tidak bergerak sendirian apabila melaksanakan program-program di Sabah.


“Ia juga akan memastikan kumpulan sasaran menerima manfaat sewajarnya dan tiada yang tertinggal daripada manfaat yang disediakan kerajaan negeri dan persekutuan.


“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana bersetuju untuk kita menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan melibatkan kesemua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dengan pembangunan keusahawanan di Sabah.


“Jawatankuasa yang sama juga diadakan di Sarawak dan saya percaya dengan adanya jawatankuasa ini, kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan dapat memperkasakan kerjasama supaya tidak lagi seperti selama ini, di mana agensi-agensi persekutuan bergerak bersendirian apabila melaksanakan program yang dimandatkan di bawah agensi masing-masing,” katanya.


Beliau berkata demikain ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) di sini, hari ini.


Ewon berkata, pengwujudan jawatankuasa itu juga dilihat mampu membantu golongan sasar khususnya usahawan kecil, sederhana, penjaja dan peniaga kecil-kecilan.


Mesyuarat yang julung kalinya diadakan itu dihadiri 21 wakil agensi dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.


Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Datuk Phoong Jin Zhe berkata, inisiatif yang diwujudkan itu adalah usaha yang baik demi pembangunan semua usahawan di Sabah khususnya golongan belia.


Katanya, adalah penting semua agensi Pusat dan negeri duduk bersama-sama dan menyelaras seterusnya mencari pendekatan memudahkan para usahawan yang mahu memperkasakan perniagaan masing-masing.

bottom of page