Penyelenggaraan Bersepadu Terminal Minyak Dan Gas Sabah Dijadualkan Semula
- nabalunews
- Jul 31, 2025
- 2 min read

31 Julai 2025
KOTA KINABALU: Kerja penyelenggaraan bersepadu di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) Kimanis yang pada asalnya dijadualkan 1 hingga 7 Ogos depan telah dijadualkan semula kepada 5 Ogos hingga 11 Ogos 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, penjadualan semula itu diputuskan dalam satu mesyuarat bersama antara ECoS, Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Pengendali Sistem Grid, semalam.
Katanya, penjadualan semula itu bertujuan memberi ruang kepada pelaksanaan kerja-kerja pembaikan unit-unit rosak milik Sabah Electricity dan Penjana Kuasa Bebas (IPP).
“Ia juga bagi menjalankan ujian kebolehpercayaan operasi IPP di Kimanis menggunakan bahan api diesel serta penyiapan kapasiti tambahan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri sebanyak 40MW.
“Penjadualan semula ini dijangka dapat mengurangkan kesan catuan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah sekiranya ia diperlukan demi kestabilan rangkaian grid Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan bersepadu di SOGT bersama aset luar pesisir ini adalah keperluan mandatori untuk memperbaharui Sijil Kelayakan (Certificate of Fitness - CF) oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Katanya, ia bagi memastikan aset yang terlibat sentiasa beroperasi mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Sepanjang tempoh penyelenggaraan ini, bekalan gas akan dihentikan kepada dua loji penjanaan kuasa bebas iaitu Loji Kuasa Kimanis dan SPR Energy yang akan beroperasi menggunakan bahan api diesel.
“Selain itu, kerja sambungan saluran paip gas untuk projek penjanaan baharu yang sedang dibangunkan oleh Sabah Electricity di Kimanis dengan kapasiti 100MW juga akan dilaksanakan, yang hanya boleh dilakukan semasa tempoh penutupan bekalan gas ini,”katanya.
Abdul Nasser berkata, sekiranya projek ini siap pada suku ketiga tahun ini berserta inisiatif penambahbaikan penjanaan lain, ia dijangka dapat meningkatkan margin simpanan penjanaan Grid Sabah daripada 17 peratus kini kepada 30 peratus.
“Untuk rekod, margin simpanan pada tahun 2023 adalah kurang daripada 10 peratus. Peningkatan margin simpanan ini amat penting bagi menambah daya tahan Grid Sabah sekiranya berlaku kerosakan pada beberapa loji penjanaan.
“Selain usaha meningkatkan kapasiti penjanaan (aspek bekalan), pengguna elektrik juga boleh memainkan peranan daripada aspek permintaan (demand side).
“Kaedah paling mudah adalah dengan menggunakan elektrik secara cekap tenaga serta mengalihkan penggunaan elektrik ke luar waktu puncak, iaitu selepas jam 9 malam,” katanya.















Comments