Penyertaan wanita dalam sukan Mipulos curi tumpuan di Kaamatan Penampang
- nabalunews
- 11 hours ago
- 1 min read

18 Mei 2026
PENAMPANG: Penyertaan wanita dalam sukan tradisi mipulos atau gusti tangan sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang tahun ini mencuri tumpuan apabila semakin ramai peserta wanita mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Kehadiran jaguh gusti tangan negara, Joyce Heng Shu Xia, yang bertanding dalam kategori Women Open turut menjadi tarikan utama sekali gus membuktikan sukan berkenaan bukan lagi didominasi golongan lelaki.
Atlet bertaraf kebangsaan dan antarabangsa itu turun beraksi bagi memeriahkan sambutan perayaan warisan berkenaan selain menjadi inspirasi kepada peserta serta pengunjung yang hadir.
Ahli Jawatankuasa Penyelaras sukan mipulos, Nesurey Petrus Lojuyo berkata penglibatan aktif Joyce diharap dapat menjadi pemangkin dalam menarik lebih ramai wanita menyertai sukan itu pada masa hadapan.
“Sukan mipulos diharapkan mampu melahirkan lebih banyak bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama daerah dan negara di persada antarabangsa.
“Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan menuai, tetapi juga platform terbaik untuk memelihara dan mengangkat sukan tradisi ke tahap lebih tinggi serta lebih inklusif untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, di sini pada Sabtu.
Kehadiran Joyce bukan sahaja meningkatkan prestij pertandingan, malah membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan wanita dalam sukan gusti tangan.















Comments