PEPERIKSAAN SPM, SVM, STAM PADA 22 FEB 2021, STPM PADA 8 MAC 2021
- Wartawan Nabalu News
- Nov 8, 2020
- 2 min read

8 NOV 2020
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2020, pada 22 Februari 2021.
Menteri Kanan Pendidikan Dr.Radzi Jidin berkata, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan bermula pada 8 Mac 2021.
Beliau berkata, perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat.
“Bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing- masing mulai 20 Januari 2021.
“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah.
“Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia, hari ini.
Radzi berkata, mengenai kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Di Raja, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Berkenaan dengan peperiksaan percubaan SPM, beliau berkata, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020 yang masih belum diselesaikan, KPM akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut dan akan dimaklumkan kemudian.
“Terdapat juga pertanyaan berkaitan dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021. Untuk makluman, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.
Opmerkingen