Perbincangan PH BN Akan Dimulakan
- nabalunews
- Jun 14, 2025
- 1 min read

14 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan, perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dimulakan.
Menurutnya, perbincangan untuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) itu akan diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, ketika ini PH sudah memulakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN), manakala rundingan sesama parti komponen PH Sabah juga masih diteruskan.
“Ia bagi memuktamadkan agihan kerusi masing-masing sebelum dirundingkan dengan BN dan GRS.
“Selepas ini kita akan berbincang dengan GRS, itu di peringkat PH. Yang lain itu kita minta mereka berbincang sesama sendirilah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kejohanan Sukan Institusi Pendidijan Tinggi (IPT) Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Sabtu.
Mustapha yang juga Menteri Pendidikan Tinggi ditanya perkembangan terkini kerjasama politik di antara PH dan parti lain, khususnya dengan BN dan GRS.
Ahli Parlimen Sepanggar itu, berkata perbincangan dengan GRS dan BN itu sejajar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR agar rundingan kerjasama PRN17 membabitkan PH, BN dan GRS.
“Tapi yang kita terima daripada presiden parti sendiri, PH dan juga Parti Keadilan, meminta kita berunding dengan BN dan juga GRS,” katanya.
Berdasarkan perkembangan sebelum ini, GRS menyatakan keutamaan kerjasama politik dengan parti yang membentuk kerajaan negeri ketika ini, iaitu GRS dan PH.
Di pihak BN Sabah pula, mereka awal-awal lagi sudah mengumumkan kerjasama dengan PH sebelum disahkan pemimpin pusat kedua-dua parti.
BN dan GRS pula masing-masing menunjukkan keengganan untuk bekerjasama, namun pemimpin kedua-dua parti menyatakan masih tidak menutup pintu rundingan.















Comments