Perjanjian 1963 Perlu Diterjemah Kepada Tindakan – Salleh
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

24 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan janji-janji yang dimeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata bagi memastikan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia dapat ditegakkan.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang menegaskan hak 40 peratus hasil negeri sebagai hak perlembagaan, membuktikan bahawa perkara tersebut bukan ihsan politik tetapi jaminan yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bukan sumbangan atau rundingan baharu, sebaliknya kewajipan perlembagaan yang menjadi asas keadilan dalam Persekutuan Malaysia.
“Janji yang termeterai pada tahun 1963 mesti diterjemah kepada tindakan. Kerjasama dan saling menghormati antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah asas kepada kekuatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri menekankan rakyat Sabah mesti diutamakan dalam mempertahankan hak serta menentukan masa depan negeri ini.
Menurut beliau, Sabah perlu memperkukuh keupayaan sendiri dalam kewangan, pentadbiran dan perancangan ekonomi.
“Setiap hak yang diperjuangkan mesti membawa manfaat nyata kepada rakyat dan di dalam hal ini, Orang Sabah mesti bersatu.
“Menegakkan hak bukan soal konfrontasi, tetapi soal maruah dan keadilan. Melalui kesatuan dan kematangan, kita dapat menempatkan Sabah di tempat yang sewajarnya dalam Persekutuan Malaysia,” ujarnya.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya turut mengarahkan supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu.


















Comments