Perkasa Ekosistem Inovasi Sabah, KKPI Disasar Jadi Platform Peringkat Negeri Mulai Tahun Hadapan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

20 November 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi pentadbiran negeri menerusi penganjuran Konvensyen Kumpulan Penggerak Inovasi (KKPI) 2025, yang menampilkan pencapaian projek berimpak tinggi dan kerjasama strategik merentas agensi.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata penganjuran KKPI bukan sahaja menunjukkan komitmen universiti dalam memperkasa budaya kualiti, malah membuktikan kemampuan UMS menawarkan model inovasi yang boleh diperluas ke peringkat negeri.
“Inisiatif rentas agensi yang diwujudkan melalui KKPI memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kapasiti profesional serta memacu budaya kualiti dan inovasi di seluruh negeri Sabah.
“Pendekatan ini akan mengukuhkan lagi keupayaan perkhidmatan awam ke arah sistem yang lebih efektif, responsif dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan KKPI 2025 yang berlangsung di Galeri Majlis, Canselori UMS baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.
Tambah Kasim, projek inovasi yang dibangunkan melalui KKPI perlu dikembangkan secara bersama agar manfaatnya dapat dinikmati oleh komuniti perkhidmatan awam yang lebih luas melalui perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi dan percambahan idea baharu.
Mengiktiraf potensi KKPI sebagai platform inovasi negeri, beliau menyatakan hasrat agar penganjuran tahun hadapan diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Seiring kejayaan penganjuran KKPI 2025, saya amat berbesar hati untuk melihat KKPI 2026 diangkat sebagai platform pertandingan peringkat negeri.
“Aspirasi ini mengimpikan penglibatan lebih luas daripada sektor awam negeri, institusi pengajian tinggi serta agensi lain.
“Ia boleh menjadi sebuah platform dan inisiatif bersama yang akan memperkukuh ekosistem inovasi pentadbiran di negeri Sabah,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Zakaria berkata penganjuran KKPI tahun ini mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi sejak dianjurkan, melibatkan 51 projek inovasi daripada 19 JAFPIB yang terlibat.
Projek tersebut terdiri daripada tiga kategori utama: Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) sebanyak 10 projek, Lean Management sebanyak 9 projek, dan Poster Inovasi (A3) sebanyak 32 projek.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen kuat warga UMS terhadap budaya penambahbaikan berterusan, termasuk penjimatan kos operasi, pengurangan aduan pelanggan serta peningkatan kecekapan kerja di peringkat jabatan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Celestina Aron; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin dan Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bongsu.


















Comments