PERKESO tawar perlindungan di bawah SKSPS kepada wartawan sambilan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PERKESO tawar perlindungan di bawah SKSPS kepada wartawan sambilan


18 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, wartawan sambilan yang bekerja dengan mana-mana organisasi dan syarikat media boleh menikmati perlindungan dan manfaat yang sama dengan pekerja tetap menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).


PERKESO dalam kenyataan turut menyebut bahawa skim tersebut adalah berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Perkerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan carumannya adalah secara sukarela.


"PERKESO melindungi bukan sahaja wartawan yang bekerja dengan majikan di bawah "Contract of Service" menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), tetapi juga mereka yang bekerja sendiri atau yang di bawah "Contract for Service" menerusi Akta 789.


Kami percaya ramai wartawan sambilan atau "stringer" di negara ini layak kepada perlindungan ini kerana mereka juga berdepan risiko kemalangan ketika berkerja, penyakit perkhidmatan dan hilang keupayaan," kata PERKESO.


Menurut PERKESO, SKSPS menyediakan pelbagai manfaat seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, dan Faedah Pinjaman Pendidikan.


PERKESO juga menawarkan empat Pelan Caruman yang boleh dipilih oleh individu bekerja sendiri dengan kadar serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan.


Selain itu, wartawan sambilan juga layak menerima Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Servis dan SPS Padanan Caruman bagi caruman SKSPS di bawah kategori SPS Usahawanita 2.0 untuk wanita dan kategori SPS Servis untuk lelaki dan wanita.


"Kerajaan, menerusi SPS Padanan Caruman, akan menanggung 80 peratus daripada bayaran caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 iaitu RM186.20 manakala individu bekerja sendiri hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60 untuk mendapat perlindungan selama 12 bulan," jelas PERKESO.


PERKESO menyambut baik usaha Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang berjanji untuk membincangkan dengan pihak terlibat berhubung caruman untuk wartawan khususnya stringer atau wartawan sambilan.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page