PERKUKUH KERJASAMA APEC DALAM KESELAMATAN MAKANAN PASCA-COVID-19 - KIANDEEPERKUKUH KERJASAMA APEC DALAM KESELAMATAN MAKANAN PASCA-COVID-19 - KIANDEE
top of page
  • nabalunews

PERKUKUH KERJASAMA APEC DALAM KESELAMATAN MAKANAN PASCA-COVID-19 - KIANDEE


27 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA: Malaysia menekankan peranan penting negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk memperkukuh usaha dan kerjasama dalam sekuriti makanan bagi menghadapi cabaran pasca-COVID-19 serta memastikan sistem makanan yang mampan di rantau ini.


Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan hari ini berkata pendirian itu dinyatakan Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika mempengerusikan Dialog Dasar Menteri Mengenai Sekuriti Makanan APEC yang dijalankan secara maya hari ini.


Kiandee dalam ucapan alu-aluannya menyatakan kerjasama perlu ditingkatkan dalam bidang teknologi makanan, inovasi dan pembangunan kapasiti.


"Keutamaan perlu diberikan dalam meningkatkan daya tahan sistem makanan, memastikan sumber makanan yang mampan serta penggunaan teknologi dan ekonomi digital yang lebih menyeluruh dalam sektor pertanian," katanya yang menyatakan langkah itu akan memastikan negara ekonomi APEC mampu menangani sebarang ketidaktentuan pada masa depan.


MAFI berkata dialog yang dihadiri 21 negara APEC dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) itu turut menghasilkan pernyataan untuk memudahkan aliran produk makanan dan pertanian merentasi sempadan, meminimumkan gangguan pada rantaian bekalan makanan global dan memastikan hubungan perdagangan tetap terbuka untuk kelestarian keselamatan makanan serantau.


"APEC juga menyedari peranan penting penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan keselamatan makanan serta kemampanan dalam rantaian bekalan sekiranya berlaku bencana alam atau pandemik pada masa akan datang," katanya.


Menurut MAFI, pernyataan itu adalah selaras dengan pernyataan Menteri-menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) yang dipersetujui oleh semua ekonomi APEC pada Mei lepas, bertepatan dengan tema APEC 2020 "Optimising Human Potential Towards a Resilient Future of Shared Prosperity: Pivot. Prioritise. Progress."


Malaysia juga mengalu-alukan New Zealand atas persiapan negara tersebut sebagai tuan rumah secara maya dalam penganjuran APEC 2021 yang akan datang, kata MAFI. – Bernama

bottom of page