top of page

Permohonan SKDS pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka 4 Mei

  • nabalunews
  • May 2
  • 2 min read

2 Mei 2026


KOTA KINABALU: Permohonan pendaftaran di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dibuka bermula 4 Mei ini.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, peluasan pelaksanaan subsidi diesel itu dimulakan dengan fasa pendaftaran syarikat yang layak di ketiga-tiga wilayah berkenaan.


Menurut KPDN, kenderaan berdaftar di bawah SKDS oleh syarikat pengangkutan darat barangan boleh menikmati subsidi diesel pada kadar semasa RM2.15 seliter, tertakluk kepada ketetapan kerajaan.


“Permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi bermula 4 Mei 2026, jam 9 pagi.


“Antara syarat kelayakan termasuk memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah dan aktif, berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak,” menurut kenyataan itu.


Syarikat, koperasi atau perniagaan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


Selain itu, kenderaan juga perlu tergolong dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.


KPDN memaklumkan, kategori pendaftaran dibahagikan kepada tiga iaitu kategori syarikat (SSM), koperasi atau PBT serta pemilikan tunggal bagi kenderaan berdaftar di bawah nombor MyKad individu dan LPKP Sabah atau Sarawak.


“Pembelian diesel bersubsidi ia akan dilaksanakan menggunakan kaedah kad armada (fleet card) yang perlu dipohon melalui syarikat minyak pilihan selepas kelulusan SKDS diperoleh.


“Syarikat boleh memilih sehingga tiga penyedia iaitu PETRONAS, Shell dan Petron bagi urusan permohonan kad manakala tempoh pemprosesan dan penghantaran kad armada dianggarkan antara dua hingga tiga minggu, bergantung kepada proses dalaman syarikat minyak dipilih,” katanya.


Dalam pada itu, KPDN memaklumkan tempoh sah laku kelulusan SKDS bergantung kepada tempoh sah LKM atau cukai jalan kenderaan.


Sehubungan itu, katanya, pemohon perlu memastikan LKM dikemas kini sebelum 28 hari setiap bulan dan tempoh sahnya melangkaui bulan berikutnya bagi melayakkan penerimaan subsidi.


Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pusat panggilan KPDN di peringkat negeri atau melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page