Permudahkan proses bantuan bakul makanan daripada Kerajaan - Ewon

27 Ogos 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa pihak kerajaan agar mempermudah dan mempercepatkan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang amat memerlukan.
Ewon berkata, pihaknya mendapat banyak aduan ramai keluarga di DUN Kadamaian termasuk yang diperintah kuarantin wajib tidak menerima bantuan bakul makanan daripada kerajaan.
“Saya mendapat aduan banyak keluarga yang memerlukan tapi tidak mendapat bakul makanan termasuk mereka yang diperintah kuarantin wajib. Saya dimaklumkan mereka perlu mengemukakan surat arahan kuarantin daripada Jabatan Kesihatan untuk memohon bantuan melalui UPPM.
“Namun ramai yang sudah habis menjalani kuarantin wajib dua minggu tapi tidak mendapat sebarang bantuan bakul makanan sepanjang tempoh ini. Mereka ini tidak termasuk dalam kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bakul makanan kepada keluarga-keluarga memerlukan dari Kg.Piasau, Kg.Ratau dan Kg.Kinasaraban di Pusat Khidmat Adun Kadamaian melalui wakil penerima hari ini.

Menurut Ewon, pihak kerajaan perlu meluaskan skop kerjasama dalam pelaksanaan bantuan bakul makanan yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri hari ini selain daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK).
“Malah ada JPKK yang mengadu senarai keluarga yang mereka hantar kepada pejabat kerajaan masih belum mendapat bantuan bakul makanan.
“Rakyat bertanya ke mana dan bagaimana peruntukan RM34 juta program bakul makanan yang diumumkan oleh Ketua Menteri dibelanjakan dan disampaikan kepada rakyat?” katanya.
Ewon yang juga Naib Presiden Upko menyatakan semasa kerajaan terdahulu, waran peruntukan program bakul makanan disalurkan kepada UPPM di seluruh Sabah di mana sebanyak RM600,000 nilai waran peruntukan diperuntukkan bagi kawasan DUN Kadamaian melalui pejabat UPPM ketika itu.
“Program bakul makanan rancak disalurkan kepada rakyat ketika itu. Tetapi di bawah kerajaan negeri yang ada hari ini, terlalu banyak keluarga yang mengadu tidak mendapat bantuan bakul makanan daripada kerajaan,” katanya.

Ewon menyatakan peruntukan RM100,000 yang diperuntukkan kepada semua Adun pembangkang juga telah digunakan sebaiknya bagi membantu keperluan rakyat di Kadamaian.
“Selain bakul makanan, sumbangan kepada keperluan gotong-royong, badan keagamaan, bantuan kebajikan dan kesusahan juga telah disalurkan kepada rakyat Kadamaian di bawah peruntukan ini.
“Bagi bakul makanan sahaja, Pusat Khidmat saya telah mengagihkan hampir 3,000 bakul makanan kepada mereka yang datang ke Pusat Khidmat, melalui gereja dan masjid, cawangan-cawangan Upko dan wakil penduduk kampung.
“Saya akan meneruskan program bakul makanan kepada keluarga yang amat memerlukan di DUN Kadamaian selagi ini yang diperlukan oleh rakyat termasuk bekerjasama dengan pihak syarikat korporat dan persendirian yang ingin menyumbang kepada program ini di DUN Kadamaian.
“Bagaimanapun, saya juga meminta agar pihak kerajaan dapat mempermudahkan pelaksanaan bantuan bakul makanan kerajaan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
Comments