Pernas salur RM12.6 juta kepada usahawan francais di Sabah: Ewon
26 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) satu daripada agensi di bawah kementerian itu telah menyalurkan pembiayaan RM12.6 juta kepada 72 syarikat merangkumi 33 jenama francais dan pra-francais di Sabah, sejak 2010 sehingga kini.
Beliau berharap dengan adanya Program Bizfrancais yang dilaksanakan Pernas, jumlah syarikat dan usahawan francais dan francaisi di negeri ini akan terus berkembang.
"Program Bizfrancais ini antaranya bertujuan meningkatkan kesedaran kepada usahawan-usahawan Sabah supaya menceburi keusahawanan Francais.
"Pada tahun depan, Pernas menyediakan sebanyak RM50 juta untuk pembiayaan usahawan francais dan pra-francais," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bizfrancais di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Ewon berkata, antara faktor peningkatan penyertaan usahawan Sabah dalam bidang perniagaan francais ialah ia lebih mudah berbanding membangunkan jenama sendiri dan usaha berterusan Pernas mengadakan kempen kesedaran orang ramai mengenai francais.
“Pada tahun ini Pernas menyasarkan RM4.2 juta potensi pembiayaan bagi Sabah. Banyak jenama homegrown di Sabah yang berpotensi untuk dibangunkan ke arah francais. Antara Mok, Fook Yuen, Nuvis, Sinar Suria dan Happy Potato yang dilihat mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa,” katanya.
Terdahulu itu, ketika berucap Ewon berkata, sejak 2010, Pernas telah menyalurkan sejumlah RM509 juta pembiayaan francais kepada 2,200 usahawan francais dan pra-francais di seluruh negara dan sejak Program BizFrancais diperkenalkan, sebanyak RM14.94 juta pembiayaan telah diluluskan.
“Bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais, pada tahun 2024, Pernas memperuntukkan RM50 juta pembiayaan francais dan pra-francais.
“KUSKOP melalui Pernas akan meneruskan inisiatif pelbagai program baharu yang bukan sahaja menyasarkan wanita dan belia, malah pesara, veteran dan perusahaan sosial,” katanya.
Ewon berkata, bagi melebarkan sayap jenama-jenama francais ke peringkat antarabangsa, Pernas juga bakal memperkenalkan Program Nurturing Brands for Expansion and Growth (NEXT) iaitu program untuk mengenal pasti dan seterusnya menyediakan para francaisor tempatan mengembangkan jenama produk francais ke luar negara.
“Peranan Pernas dalam pembangunan usahawan francais turut mendukung misi KUSKOP dalam menyediakan platform, khidmat sokongan, bantuan serta pembangunan kapasiti keusahawanan.
“Pernas bukan sahaja melahirkan ramai usahawan francais, malah turut membangunkan jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa serta menyediakan ekosistem keusahawanan francais yang kondusif dengan menawarkan produk-produk dan perkhidmatan bersesuaian kepada para usahawan,” katanya.
Ewon berkata, produk-produk yang ditawarkan oleh Pernas adalah menyeluruh dan ia merangkumi keperluan francaisor, francaisi dan pra-francaisor.
“Antaranya skim pembiayaan francais, pra-francais, perlesenan, mikro serta pengurusan hartanah dan pembiayaan ekuiti,” katanya.
Katanya lagi, industri francais semakin berkembang pesat dan scenario positif ini memberi kebaikan kerana ia dapat merangsang ekonomi domestik.
“Sehingga Disember 2022, sejumlah 1,154 jenama telah didaftarkan sebagai perniagaan francais. Manakala pada tahun ini, dijangka industri francais negara akan berkembang sekitar 20% sehingga 30% di mana sasaran nilai ekonomi kepada perniagaan francais adalah RM25 bilion.
“Harapan saya, lebih banyak perniagaan francais dapat dibangunkan di Sabah. Saya juga mahu melihat perniagaan pra-francais yang berpotensi di negeri ini dikenalpasti serta dimajukan, sekali gus membantu membangunkan pertumbuhan ekonomi selain meningkatkan pendapatan usahawan khususnya dan rakyat amnya,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) Dato’ Hazimah Zainuddin, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pernas Afidah Azwa Abdul Aziz, wakil-wakil kementerian dan agensi dan para usahawan.
Comments