Perniagaan Keluarga perkasa legasi keusahawanan, warisan nilai merentas generasi
- nabalunews
- Oct 18
- 2 min read

18 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata, perniagaan keluarga bukan sekadar aktiviti ekonomi, sebaliknya merupakan warisan nilai dan legasi yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara.
Beliau berkata, di sebalik pelbagai cabaran ekonomi dan perubahan pasaran global, perniagaan keluarga kekal menjadi antara nadi utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara.
“Perniagaan keluarga bukan sahaja menjadi tulang belakang ekonomi negara, malah ia juga adalah warisan dan legasi yang membawa nilai murni daripada generasi ke generasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga bertemakan “A Legacy Beyond Wealth” anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di sini, hari ini.
Ewon berkata, kejayaan sesebuah perniagaan keluarga tidak hanya bergantung kepada keuntungan kewangan, tetapi juga kepada amalan tadbir urus yang baik, perancangan pewarisan yang berkesan, inovasi berterusan serta kekuatan nilai kekeluargaan yang menjadi asas kepada kelestarian perniagaan.
Katanya, dengan gabungan kepimpinan berwawasan, pengurusan berstruktur dan penggunaan teknologi moden, perniagaan keluarga mampu terus berkembang dan berdaya saing dalam pasaran yang semakin kompetitif.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta INSKEN sentiasa komited memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui kerjasama strategik merentasi kementerian, agensi dan pemain industri.
“Sinergi ini penting bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada usahawan serta memperkukuh ekosistem keusahawanan negara,” katanya.
Mengenai potensi Sabah dalam konteks keusahawanan, Ewon menyifatkan negeri ini sebagai “Home of Global Brands”, hasil kekuatan dan daya tahan pelbagai perniagaan keluarga tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Antara jenama tersebut ialah C&F Enterprise Sdn. Bhd. yang membawa produk Hari-Hari Snacks, Jetsin Group, Brutti & Besi, Yee Lee Corporation, dan Sabah Tea, selain rangkaian makanan segera tempatan Borenos Fried Chicken, yang kini semakin dikenali di peringkat kebangsaan.
“Kesemua contoh ini membuktikan bahawa ramai usahawan Sabah yang lahir daripada perniagaan keluarga berdaya tahan, berjaya menjana ekonomi dan membawa jenama mereka ke persada global,” katanya.
Seminar sehari itu disertai lebih 400 usahawan, pewaris perniagaan keluarga dan pemain industri dari seluruh Sabah, dengan objektif memperkukuh daya tahan serta kesinambungan legasi perniagaan keluarga di Malaysia.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP (Pembangunan Keusahawanan) Haji Rahman Mohd Din dan Setiausaha Bahagian Kanan KUSKOP Mohd Asri Mohamed.


















Comments