Kuota BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

27 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini susulan tekanan global akibat konflik Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar bagi memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas penelitian mendapati purata penggunaan rakyat adalah sekitar 100 liter sebulan, dengan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.
"Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.
“Langkah ini sementara, bagi memastikan bekalan mencukupi dan diagihkan secara adil ketika ketidaktentuan ekonomi dunia berterusan,” katanya dalam perutusan khas malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, inisiatif BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata, had siling bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter mengambil kira keperluan pekerjaan mereka.
“Kerajaan turut mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter meskipun harga pasaran meningkat, berikutan faktor geografi dan logistik di kedua-dua negeri,” katanya.
Sementara itu, bagi mengelakkan penyelewengan, katanya kerajaan turut memperkenalkan had pengisian bahan api mengikut kategori kenderaan, termasuk maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan, 100 liter bagi kenderaan bawah tiga tan dan 150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan setiap pembelian.
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan bekalan bahan api diagihkan secara adil dan mencukupi, selain membendung aktiviti penyeludupan yang sebelum ini dikesan mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.
Beliau turut memberi jaminan langkah diambil secara teliti dan berhemah dan meminta rakyat memahami keperluan pelaksanaan langkah berkenaan demi menjaga kepentingan bersama.















Comments